BKKM Pulau Pinang serbu kediaman yang digunakan untuk memproses samsu haram di Taman Pulasan, Bukit Minyak, lewat malam tadi.

BUKIT MERTAJAM – Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) berjaya membongkarkan kegiatan seorang lelaki yang memproses samsu haram di kediaman dalam serbuan di Taman Pulasan, Bukit Minyak di sini, lewat malam tadi.

Serbuan selama empat jam berakhir jam 12 tengah malam itu turut membawa kepada penemuan pengeluaran arak haram yang dijual di kedai runcit yang diuruskan isteri lelaki berkenaan.

Botol minuman digunakan untuk mengisi samsu haram.

Kediaman tersebut didiami bapa lelaki terbabit dan kira-kira 150 meter jarak antara kediaman dengan kedai runcit tersebut.

Kegiatan pasangan suami isteri itu terbongkar hasil risikan selama sebulan oleh Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran atau Inspektor Kesihatan.

Mohd Wazir.

Ketua Bahagian BKKM negeri, Mohd Wazir Khalid berkata, risikan dan serbuan itu dibuat susulan tujuh kematian warga asing disebabkan metanol yang direkodkan di sekitar Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) tahun ini.

Jelas beliau, kematian kira-kira 14 orang itu dilaporkan mengalami keracunan daripada punca yang sama.

“Serbuan pertama dibuat di kedai runcit yang diuruskan seorang wanita warga Vietnam membawa kepada penemuan dua botol berisi arak haram di dalam kedai dan kenderaan miliknya.

Mohd Wazir menunjukkan botol berisi samsu haram yang ditemui dalam kereta milik wanita warga Vietnam.

“Susulan itu, kita serbu kediaman bapa mertuanya berhampiran lokasi tersebut yang membawa kepada penemuan barang memproses samsu haram.

“Pemeriksaan di dalam bilik stor kediaman itu mendapati beberapa bekas berisi beras yang sudah diperam serta peralatan seperti tong gas ditemui dalam bilik tersebut,” katanya kepada pemberita di sini.

MalaysiaGazette difahamkan, pasangan tersebut mengguna beras serta campuran ubat tertentu untuk menghasilkan samsu haram tersebut.

Ia diisi di dalam botol air mineral 1.5 liter sebelum dijual dengan harga RM15 sebotol kepada warga asing.

Mohd Wazir menunjukkan botol air jenama lain digunakan untuk mengisi samsu haram bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Tambah Mohd Wazir, berdasarkan penemuan puluhan botol kosong di kawasan kedai runcit tersebut, pihaknya tidak menolak kemungkinan kegiatan memproses samsu haram itu sudah beroperasi sejak awal tahun.

“Kita rampas samsu haram itu untuk dihantar ke makmal bagi mengenal pasti kandungan metanol dalam arak itu melebihi had ditetapkan atau sebaliknya.

“Serbuan dan rampasan ini merupakan kejayaan terbesar buat pihak kami dalam memastikan kadar kematian akibat metanol di SPT dapat diatasi apabila premis sebegini diambil tindakan,” kata beliau.

Puluhan botol minuman kosong ditemui di kedai runcit tersebut dipercayai untuk mengisi samsu haram.

Mengulas lanjut Mohd Wazir berkata, dua kompaun bernilai RM6,500 dikeluarkan atas kesalahan rumah dijadikan lokasi pemprosesan serta persampelan air minuman disyaki alkohol.

“Selain itu, kita juga akan panjangkan isu ini kepada pihak berkuasa tempatan susulan kediaman dijadikan tempat memproses samsu haram serta Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana ketika serbuan kita dapati tiga kanak-kanak terdedah kepada aktiviti tidak bermoral itu,” jelas Mohd Wazir.

Media pada 1 Oktober lalu melaporkan, sebanyak 33 kematian dilaporkan akibat keracunan metanol dilaporkan di tujuh negeri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima 55 notifikasi kes keracunan metanol iaitu 25 kes di Selangor, Perak (13 kes), Pahang (5 kes), Pulau Pinang (6 kes), Kuala Lumpur (4 kes) dan masing-masing satu di Johor serta Negeri Sembilan dalam tempoh 9 September sehingga semalam. – MalaysiaGazette