Inland Revenue Board IRB income tax taxation system Budget 2022
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Kerajaan bertekad melaksanakan langkah konsolidasi defisit secara berperingkat dalam jangka masa sederhana.

Laporan Tinjauan Ekonomi Kementerian Kewangan berkata, langkah itu perlu untuk mengoptimumkan hasil dan merasionalisasikan perbelanjaan.

Berikutan pandemik, kerajaan katanya terpaksa mengeluarkan dana yang besar untuk menyalurkan bantuan serta merangsang ekonomi bagi mengurangkan beban rakyat dan perniagaan.

Ini menyebabkan kadar defisit melonjak kepada 6.2 peratus pada tahun 2020 berbanding 3.4 peratus pada 2019, sedangkan kerajaan mengambil masa selama 10 tahun untuk mengurangkan defisit apabila ia mencatatkan kadar 6.7 peratus ketika krisis kewangan Asia pada 2009.

Menurut Kementerian Kewangan, langkah untuk mengoptimumkan hasil dan merasionalisasikan perbelanjaan boleh dilakukan melalui sistem percukaian.

Jelasnya, sistem percukaian yang adil, efektif serta asas cukai yang lebih luas diperlukan untuk mengoptimumkan hasil manakala rasionalisasi perbelanjaan pula perlu melihat kepada keseluruhan struktur perbelanjaan kerajaan. – MalaysiaGazette