Datuk Zamri Yaakob

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menyambut baik Bajet 2022 yang bersifat komprehensif, menyeluruh serta telah mengambilkira keperluan warga peladang, perternak dan nelayan seluruh negara.

Bajet yang bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” merupakan bajet prihatin yang khusus dalam menjamin bekalan makanan negara lebih-lebih lagi ketika negara kita sedang menuju ke fasa endemik di mana kita akan terus hidup bersama Covid-19 dalam kehidupan norma baharu.

Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan, Datuk Zamri Yaakob berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan diperuntukkan sebanyak RM4.8 bilion dibawah Bajet 2022.

“Peruntukan ini termasuk bagi tujuan perbelanjaan mengurus sebanyak RM3.8 bilion dan perbelanjaan pembangunan sebanyak  RM1.54 bilion serta RM1.7 bilion bagi subsidi dan insentif keseluruhan bagi industri pertanian dan perikanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

NAFAS juga menurut Zamri gembira dengan subsidi benih, baja, harga dan pengeluaran padi iaitu RM1.5 bilion serta RM40 juta bagi subsidi baja padi huma/bukit yang pastinya akan memberi manfaat yang menyeluruh kepada warga peladang lebih-lebih lagi kepada hampir satu juta ahli peladang di seluruh negara.

“Peruntukan ini menunjukkan komitmen kerajaan bagi mengekalkan momentum pengeluaran makanan dalam negara khususnya tanaman padi yang merupakan komoditi tanaman makanan utama negara,” katanya.

Menurutnya, NAFAS turut berterima kasih dan menyambut baik pemberian perlindungan takaful yang akan diberikan kepada semua ahli peladang Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seluruh Malaysia di bawah Skim Perlindungan Takaful Smart Card Peladang dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.

“Perlindungan takaful ini sudah tentu akan memberi faedah langsung kepada ahli-ahli peladang. Ini membuktikan Kerajaan komited memastikan kebajikan golongan petani, perternak dan nelayan terus terpelihara,” katanya lagi.

NAFAS selaku institusi yang menerajui pergerakan Pertubuhan Peladang komited dalam memperkasakan fungsi dalam memberi perkhidmatan yang berkualiti dan dinamik serta terus terlibat secara aktif dalam keseluruhan rantaian nilai industri pertanian, meneroka aktiviti nilai tambah dan hiliran khusnya dengan teknologi moden dan digital agar produktiviti dimaksimumkan serta pendapatan ahli dipertingkatkan.- MalaysiaGazette