Ezad Lazim (kiri) dan Red Rahimad berkolaborasi menerusi lagu Celup.

KUALA LUMPUR – Nama Red Rahimad atau nama sebenarnya, Muhammad Redha Rahimad barangkali agak asing dalam dunia seni namun anak muda berusia 21 tahun ini sangat berbakat.

Justeru dia menjadi pilihan penyanyi Ezad Lazim berkolaborasi dengannya menerusi single Cahaya pada Ramadan lalu dan terbaharu dia muncul dengan single kedua.

Di bawah syarikat rakaman COF Music, single itu bertajuk Celup dan Red Rahimad sekali lagi berkolaborasi bersama penyanyi Ezad Lazim.

Dia juga sudah bergelar singer song writer yang mana turut menghasilkan sendiri lagu nyanyiannya serta turut mencipta lagu buat beberapa penyanyi lain.

Sebagai pencipta sepenuhnya untuk lagu Celup, Red Rahimad bertuah kerana Ezad menerima tawaran berkenaan selain menyifatkan kolaborasi mereka sebagai satu rezeki.

“Saya dapat berikan kepercayaan pada abang Ezad untuk featuring bersama dalam lagu ini. Sebab saya tahu suara abang Ezad sedap. Lagi pula kami pernah bekerja sekali dalam lagu yang saya tulis sendiri iaitu Cahaya yang dilancarkan pada Ramadan lalu.

“Ketika itu saya berborak mengenai lagu Celup ini. Saya dengar dia bawa live depan saya, terus jatuh hati dengan suara dia. Jadi saya minta dia bekerjasama dalam lagu ini,” katanya.

Red Rahimad memberitahu, tidak timbul soal Ezad lebih menyerlah berbanding dirinya kerana masing-masing ada pembahagian dalam lagu Celup itu.

“Kalau kita nak berkolaborasi dengan sesiapa pun pasti akan berasa macam ini.  Kita nak feat dengan mana-mana penyanyi mestilah mereka pun ada latar belakang dan ada peminat tersendiri.

“Bagi saya dapat berkolaborasi dengan abang Ezad adalah rezeki. Ini adalah kolaborasi kedua kami. Jadi, jika rezeki nak datang, kalau kata over shadow mungkin dari situ ia berubah kepada peminat akan tertanya-tanya siapa Red Rahimad ni? Kenapa Ezad Lazim nak kolaborasi dengan dia? Dari situ mereka akan buat semakan siapa komposer, penulis lirik. Kalau bagus, baguslah. Kalau ada kekurangan mereka boleh tegur.

“Suara dan kritikan netizen pun kadang membantu dari segi proses menambahbaik dalam penghasilan lagu selepas ini. Tapi dalam lagu ini saya ada juga letak strategi yang mana orang pun nak dengar bahagian saya selain Abang Ezad saja,” jelasnya.

Berkongsi lanjut mengenai lagu Celup, kata Red Rahimad, lagu tersebu sudah disiapkan sejak Januari tahun lalu dan beliau mengambil masa lebih setahun untuk dilancarkan.

“Lagu ini saya rakam demo sendiri sebelum bergabung dengan COF Music iaitu pada penghujung Januari tahun lalu. Lagu ini tidak ditulis semula. Proses rakaman pula dibuat selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini. Kiranya lebih setahun juga lagu ini disimpan sebelum dapat dilancarkan.

“Saya dan abang Ezad buat rakaman asing. Apabila tiba giliran abang Ezad, saya ada di situ sebab saya nak pastikan melodi masih kekal sama. Sebab bagi saya melodi asal sudah sedap. Alhamdulillah, Abang Ezad dapat bawa dengan baik,” terangnya.

Red Rahimad.

Menariknya lagu ini, Red Rahimad mengetengahkan rentak old school yang mana turut memberi sentuhan irama muzik Melayu lama pada bahagian korus.

“Celup ini maksudnya tiruan atau palsu. Mengenai isi lagu ini ia mengisahkan seseorang sama ada lelaki atau wanita yang memiliki perwatakan palsu dalam diri mereka.

“Sebagai contoh dalam berkawan masing-masing nak tunjuk kehidupan mewah semata-mata untuk paparan di media sosial. Dari segi percintaan, seseorang itu menggunakan watak lain untuk menarik minat seseorang. Sedangkan hakikatnya dia berbeza pun.

“Ini yang saya fikir sewaktu menulis lagu dan lirik ini. Ia juga tidak ada proses rewrite atau perubahan lirik langsung sebelum proses rakaman dibuat. Sebab lirik yang digunakan bersahaja. Apa yang pasti, cerita penuh lagu ini semuanya mengisahkan mengenai sikap, tingkah laku, perilaku, perbuatan atau apa saja yang boleh dikaitkan dengan palsu, tiruan atau celup.

“Dalam lagu ini ada juga ada menyentuh beberapa isu yang terjadi sekarang. Misalnya dalam perhubungan, keluarga, alam pekerjaan dan sebagainya. Kiranya ini waktu sesuai saya melancarkan lagu ini.

“Lagu ini pun tak berkias atau menyindir sesiapa dan tak kontroversi pun. Jadi saya tidak berasa ragu-ragu terhadap lagu ini,” katanya yang menulis berdasarkan kebenaran,” katanya.

Lagu dan video muzik Celup nyanyian Red Rahimad dilancarkan secara rasmi pada 22 Oktober lalu di saluran YouTube COF Music dan hingga kini telah mencecah 22,000 tontonan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast