Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan menggesa Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan dalam pembentangan Bajet 2022 dengan segera sebaik ia diluluskan dalam Dewan Rakyat.

Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, ia harus disegerakan untuk merangsang pertumbuhan serta membolehkan keadaan ekonomi negara pulih secepat mungkin.

“Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam merupakan bajet yang memanfaatkan seluruh rakyat Malaysia.

“Perkara yang harus dipertengahkan di sini adalah peruntukan sebanyak RM120 juta akan diperuntukan kepada 1,800 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan juga Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

“Ini secara keseluruhan membuktikan bajet yang diumumkan semalam nyata mempamerkan semangat ‘Keluarga Malaysia’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Tong Keong berkata, peruntukan kepada golongan B40 yang diumumkan semalam turut menunjukkan kerajaan mengambil berat berhubung golongan berkenaan yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.

“Bantuan kewangan ini bukan sahaja dapat membantu golongan yang memerlukan malah akan menggalakkan aktiviti ekonomi di pasaran, kerana rakyat akan menggunakan peruntukan itu untuk membeli bahan keperluan harian sekali gus memanfaatkan penjaja dan peniaga kecil.

“Sehubungan itu, kita berharap semua peruntukan terbabit disalurkan segera sebaik ia diluluskan dalam Dewan Rakyat agar pertumbuhan ekonomi yang terbantut akibat Covid-19 dapat dirancakkan semula,” jelas beliau. – MalaysiaGazette