KUALA LUMPUR – MIDF Research berpendapat Bajet 2022 adalah pendekatan holistik dalam memulihkan sosio-ekonomi Malaysia, memberi sokongan kepada rakyat dan perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pada masa sama, Bajet 2022 adalah pemangkin ekonomi untuk memastikan pertumbuhan kembali kukuh dan mampan.

Langkah-langkah seperti “Bantuan Keluarga Malaysia” dengan peruntukan RM8.2 bilion, pelbagai inisiatif untuk meningkatkan bidang pendidikan, latihan dan peningkatan kemahiran serta mengiktiraf peranan wanita dalam masyarakat melalui pelbagai langkah pembangunan wanita menyerlahkan perkara ini.

Sokongan dan kaedah untuk merancakkan aktiviti perniagaan terutamanya bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) juga diberi penekanan.

Akses pada pembiayaan dengan pelbagai pinjaman dan pembiayaan dan skim jaminan kredit telah diwujudkan sebagai salah satu inisiatif untuk memastikan perniagaan terutamanya PMKS mampu pulih dan berkembang selepas mengharungi tempoh sukar tahun ini.

”MIDF bersama pelbagai institusi kewangan pembangunan lain komited menyokong pemulihan PMKS. Dengan pemulihan dalam aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan baharu, seiring dengan sokongan gaji yang disediakan oleh kerajaan, aktiviti ini akan menyumbang ke arah memastikan kadar pengangguran yang lebih rendah tahun depan.

”Kami percaya sektor pekerjaan akan kembali pada landasan pertumbuhan,” katanya dalam kenyataan di sini.

MIDF Research menjangkakan ekonomi akan meneruskan trend pemulihan pada 2022 berikutan pembukaan semula ekonomi.

Untuk 2021, ia mengekalkan ramalan pertumbuhan sebanyak 4.6% berbanding unjuran kerajaan 6.5% pada 2022.

Firma penyelidikan ini menambah, Bajet 2022 menyediakan bantuan berterusan kepada rakyat melalui peruntukan tambahan sebanyak RM23 bilion ke dalam dana Covid-19.

Sebahagian besar peruntukan disalurkan dalam bentuk bantuan tunai, bantuan sosial, sokongan kepada kumpulan yang lemah dan program subsidi gaji yang akan diteruskan sejak tahun lepas.

Bantuan ini diharapkan dapat menjamin kesejahteraan rakyat memandangkan tahun 2022 akan menjadi tahun terakhir untuk dana Covid-19.

MIDF Research tidak berasa hairan dengan pengembangan bajet terutamanya perbelanjaan pembangunan (DE) kasar yang lebih besar sebanyak RM75.6 bilion yang mana majoriti akan membiayai projek yang sedang dijalankan manakala projek baharu berjumlah RM8.7 bilion.

Projek dan program berimpak tinggi akan terus diberi tumpuan terutamanya dalam sektor pengangkutan, perdagangan dan industri, tenaga dan kemudahan awam.

MIDF Research optimis dengan kepercayaan yang diberi untuk mengukuhkan keupayaan keusahawanan termasuk PMKS, subsektor pertanian, pendidikan dan latihan dan sistem penjagaan kesihatan.

Ia selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-12 dan komited memberikan dorongan yang diperlukan untuk pemulihan ekonomi.

Mengulas mengenai Bajet 2022, Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Mokhzani berkata, Bajet 2002 akan membantu negara pulih daripada kesan pandemik dan meletakkan Malaysia pada landasan betul ke arah pertumbuhan jangka panjang.

”Kami mengalu-alukan bantuan tunai kepada mereka yang memerlukan serta memberi tumpuan pada pendidikan dan kanak-kanak.

”Kerajaan perlu mengekalkan keseimbangan antara pelaburan untuk masa depan seperti memperkasakan TVET dan teknologi dan pada masa sama memberikan bantuan kepada mereka yang terjejas teruk akibat pademik ini,” katanya. – MalaysiaGazette