Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mengulangi kenyataan supaya jangan salahkan UMNO lagi berhubung penarikan sokongan empat Ahli Dewan Undangan (ADUN) kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Penarikan semula sokongan itu menyebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan dan perlu mengadakan pilihan raya negeri.

Ia susulan pengakuan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan telah bertemu dengan pemimpin Pakatan Harapan Melaka sebelum menarik sokongan kepada Sulaiman.

Memetik laporan sebuah portal, Ketua Pembangkang itu berkata,  berdasarkan persefahaman ketika itu, Idris, Nor Azman dan Datuk Noor Effandi Ahmad (PPBM-Telok Mas) akan menyokong pembentukan kerajaan baharu.

Namun, perkara itu tidak berlaku apabila Sulaiman berjaya meyakinkan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam untuk membubarkan DUN sebelum kerajaan baru dibentuk.

”Itu dia. Perjumpaan dan persetujuan SEBELUM 4 ADUN tarik sokongan.

”Pengakuan rasmi dari PH hari ini bahawa mereka yang berkomplot dan tumbangkan kerajaan Melaka sehingga PRN perlu dibuat.

”Jadi, jangan salahkan UMNO lagi,” kata bekas perdana menteri itu. – MalaysiaGazette