NUKU’ALOFA – Tonga bergegas untuk melaksanakan vaksinasi kepada penduduk Pulau Pasifik itu selepas kes pertama Covid-19 dikesan pada hari Jumaat.

Jangkitan itu dibawa masuk dari seorang individu yang pulang dari New Zealand yang sudah lengkap menerima vaksin Covid-19.

Lebih 100,000 penduduk tinggal di pulau yang terletak di barat laut New Zeland.

Hanya satu pertiga daripada penduduk Tonga telah diberi vaksin sepenuhnya.

Perdana Menteri Tonga, Pohiva Tu’i’onetoa berkata, pengembara itu adalah dalam kalangan 215 penumpang yang tiba melalui penerbangan dari Christchurch pada hari Rabu lalu dan dikuarantin di hotel.

Penumpang lain bersama pengembara itu ialah pasukan Olimpik Tonga yang terkandas di bandar tersebut sejak Olimpik Tokyo.

Susulan perkembangan itu, Pohiva memberi amaran bahawa pulau itu mungkin berdepan dengan sekatan pergerakan minggu depan.

Kementerian Kesihatan New Zealand memaklumkan pengembara itu telah disaring negatif sebelum meninggalkan negara itu.

Tetapi pihak berkuasa di Tonga berkata, bacaan positif direkodkan selepas ujian rutin pada Khamis, dilakukan semasa individu berkenaan dikuarantin.

Pengembara itu telah menerima dos kedua pada pertengahan Oktober dan dia tidak mengalami gejala teruk. – Agensi