Harimau Malaya yang terdapat di Zoo Negara selepas dibuka semula untuk orang awam susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan penularan COVID-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Zoo Negara, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 22 DISEMBER 2020.

WWF-Malaysia menyambut baik keputusan Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 yang akan membuka jalan
untuk mengekang pemerdagangan hidupan liar dan memulihara biodiversiti negara.

Kami berterima kasih kepada Dewan Rakyat kerana meluluskan RUU berkenaan pada Selasa (26 Oktober), yang menyaksikan peningkatan denda kepada RM1 juta dan tempoh penjara sehingga 15 tahun.

Hukuman yang lebih berat ini diharap dapat membantu untuk mencegah jenayah hidupan liar.

Sudah tiba masanya pemburu haram dan penyeludup hidupan liar dikenakan tindakan yang lebih berat untuk jenayah yang dilakukan.

Dengan populasi Harimau Malaya kini kurang daripada 200 ekor, tindakan segera diperlukan untuk melindungi Harimau Malaya daripada pupus.

Kelulusan RUU ini merupakan satu pencapaian penting yang menyumbang ke arah
perlindungan spesies terancam ini.

Selain itu, kami mengalu-alukan pengumuman kerajaan berkenaan penubuhan ‘National
Conservation Task Force’ (MyTTF) dan ‘Tigers Working Group’ (MyTWG) bagi mengatasi
masalah penurunan populasi harimau.

Pengumuman ini amat menggembirakan komuniti pemuliharaan yang telah melobi selama bertahun-tahun agar tindakan seumpama ini diambil.

WWF-Malaysia bersedia untuk terus memberi sokongan dan menyumbang kepakaran kami bagi memastikan penubuhan MyTTF dan MyTWG mencapai hasratnya.

Langkah-langkah baru ini mungkin kelihatan terbatas kepada pemuliharaan harimau, namun ia mampu dijadikan kerangka untuk pendakwaan pelbagai kes jenayah lain.

Jenayah hidupan liar terutamanya bagi harimau tidak terhad kepada hutan di Malaysia sahaja.

Ia juga merupakan sebahagian daripada sindiket pemerdagangan hidupan liar yang dikaitkan dengan pengedaran dadah, pemerdagangan manusia dan pengubahan wang haram.

Apabila kita melawan pemerdagangan hidupan liar, kita sebenarnya menentang jenayah-jenayah lain juga.

Sekali lagi, kami menghargai usaha yang diterajui oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dalam membanteras jenayah hidupan liar.

Langkah-langkah ini, serta penguatkuasaan undang-undang yang tegas dan penambahan bilangan pasukan peronda, akan membantu usaha melindungi spesies terancam dan biodiversiti di Malaysia.

Mari kita semua bersatu dalam memerangi jenayah hidupan liar.

Sophia Lim
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif
WWF-Malaysia