PRN Melaka State Election flag
Pilhan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas empat ADUN menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka.

MELAKA – MCA mungkin kehilangan peluang untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong sekiranya UMNO bersetuju menyerahkan kerusi itu kepada Pas.

Walaupun MCA mahu bertanding di lapan kerusi di Melaka, tetapi pelbagai perkembangan, termasuk pengumuman Pas Melaka untuk bertanding di Duyong, telah menyukarkan MCA mencapai hasratnya.

Setiausaha MCA Melaka, Datuk Koh Chin Han berkata, nasib partinya di Duyong terserah kepada hasil perbincangan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dengan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, MCA akan berusaha mempertahankan peluang untuk bertanding di Duyong yang merupakan “kerusi tradisional” parti itu.

Menurutnya, partinya tidak boleh menunggu, tetapi perlu bekerja keras walaupun kerusi yang bakal ditandingi belum dimuktamadkan.

“Pada masa ini bukan sahaja MCA yang tidak pasti kerusi mana yang akan ditandingi, malahan UMNO juga menghadapi situasi sama.

“Kami tidak boleh menunggu, tetapi perlu menyokong apa jua keputusan yang boleh memenangkan MCA dan BN,” katanya kepada China Press.

Sementara itu, akhbar itu juga melaporkan dua bekas wakil rakyat UMNO akan menyertai sama ada PKR atau Amanah untuk bertanding dalam pilihan raya negeri.

PKR dan Amanah mendapat tambahan kerusi untuk bertanding kerana dua parti itu dijangka menerima bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

PKR dan Amanah masing-masing diberi tambahan tiga kerusi untuk bertanding melalui tiket Pakatan Harapan (PH), tetapi DAP tidak menerima apa-apa tambahan.

Ketua DAP Melaka, Tey Kok Kiew ketika dihubungi China Press enggan mengulas tentang keputusan PH tersebut.

Kok Kiew bagaimanapun berkata, parti itu akan meletakkan calon bukan Cina termasuk Melayu dan India untuk bertanding.

Keadaan itu juga bermakna terdapat ADUN asal yang akan digugurkan oleh DAP untuk memberi laluan kepada orang baharu. – MalaysiaGazette