PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

ALOR SETAR – Seorang penoreh getah wanita berusia 63 tahun dan sudah berkahwin, mengalami kerugian sebanyak RM74,800, selepas terpedaya dengan cinta maya (love scam) seorang individu yang dikenalinya menerusi Facebook sejak Julai lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Supt Elias Omar berkata, suspek memperkenalkan diri sebagai doktor bernama Ibrahim Aziz yang tinggal di Ireland dan meminta bantuan mangsa untuk memasukkan wang bagi mengaktifkan akaunnya.

“Suspek juga memberitahu dia telah mengirim barangan sebagai tanda perkenalan, malah mangsa dihubungi individu yang mengaku daripada sebuah syarikat penghantaran, memaklumkan terdapat barangan dikirim suspek dan meminta mangsa membayar cukai dan denda bagi melepaskan barangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Elias berkata, atas dasar percaya dan cinta, wanita itu membuat 25 transaksi secara berperingkat ke tiga akaun bank bermula September hingga Oktober lepas, berjumlah RM74,800 menggunakan wang simpanannya.

“Penipuan itu hanya disedari apabila dia sekali lagi diminta membuat pembayaran dan wanita berkenaan kemudiannya membuat laporan polis di Baling, semalam,” katanya dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, Elias berkata, satu lagi kes penipuan dilaporkan melibatkan seorang pelajar berusia 19 tahun yang kerugian RM1,400 selepas berurusan dengan individu yang didakwa mahu menyewakan sebuah rumah di Jitra.

“Mangsa melihat iklan sewaan rumah sewaktu melayari Facebook pada September lepas daripada pemilik akaun Facebook ‘Zhafri Muhammad’ dan mahu menyewa rumah terbabit untuk diduduki bersama rakan-rakannya sebelum pengajian bermula awal bulan ini,” katanya.

Beliau berkata, selepas berhubung dengan suspek yang mendakwa dirinya sebagai pemilik rumah, mereka bertemu di rumah sewa itu dan pelajar tersebut bersetuju untuk menyewa dengan kadar sewaan RM600 sebulan serta wang deposit RM1,400, yang dipindahkan ke dalam akaun yang diberikan suspek pada awal bulan lepas.

“Mangsa menyedari ditipu apabila suspek yang berjanji akan menyerahkan kunci rumah kepadanya pada penghujung Oktober tidak berbuat demikian, malah nombor telefon mangsa turut disekat suspek,” katanya.

Menurut Elias setakat ini terdapat enam laporan polis berkaitan penipuan sewa rumah di negeri ini dan dua kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Justeru, pihaknya menasihatkan orang ramai agar menyemak kesahihan maklumat berkaitan hal sewa rumah sebelum membuat sebarang transaksi. – Bernama