Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf dalam sidang media di Kuantan, Pahang hari ini.

KUANTAN – Masih ada mangsa penipuan enggan membuat laporan polis kerana malu apabila melibatkan status sosial dan kerjaya profesional mereka.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed berkata, ia menyukarkan pihaknya menyelesaikan siasatan.

“Ini kerana ada yang tidak membuat laporan polis apabila melibatkan kedudukan sosial status atau golongan profesional kerana malu terlibat menjadi mangsa penipuan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Justeru pihaknya berharap orang ramai tampil membuat laporan polis sekiranya menjadi magsa penipuan supaya pihak berkuasa dapat mengumpul maklumat bagi membendung isu dari terus berleluasa.

Beliau berkata, menurut statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, sebanyak 1, 295 kes jenayah komersial dilaporkan melibatkan kerugian sebanyak RM42,297,834.49 sepanjang tempoh suku ketiga tahun ini.

Ramli berkata, sebanyak 542 sebuan operasi kes jenayah komersil telah dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang.

 

Ramli Mohamed

Hasil operasi yang sama sebanyak 637 tangkapan telah dibuat bermula Januari hingga September 2021.

“Sehingga kini, sebanyak 1,295 kes kesalahan melibatkan jenayah komersial dilaporkan melibatkan kes tipu, pecah amanah, jenayah siber, pemalsuan, wang palsu, kes ahlong  termasuk kes VCD dan DVD.

“Sebanyak 17 jenis operasi giat dijalankan dan Ops Seagull melibatkan sindiket pinjaman tidak wujud mencatat rekod tertinggi dengan 154 operasi dijalankan melibatkan 162 tangkapan,

“Manakala kes penipuan atas talian melibatkan sindiket love scam, tipu, menyamar pegawai kerajaan, tipu pembelian atas talian termasuk tipu pelaburan merekodkan sebanyak 2, 868 kes sehingga September ini,” katanya.

Jelas Ramli, pelbagai kaedah dan modus operandi digunakan oleh pemangsa bagi memanipulasi mangsa sehingga terjerat dan mengalami kerugian.

Dalam masa yang sama, Ramli turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak terpedaya dengan jenayah penipuan yang semakin berleluasa.- MalaysiaGazette