Sulaiman Md. Ali

MELAKA – Kerajaan negeri Melaka akan mengkaji untuk mempertimbangkan kenaikan jumlah bantuan bencana alam yang diberikan kepada mangsa banjir, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata, ia berikutan fenomena alam dan cuaca hujan yang tidak menentu pada masa kini menyebabkan keadaan itu tidak boleh dijangka di samping meringankan beban dihadapi mangsa yang terjejas dengan bencana alam itu.

“Jika boleh bantuan ini kami perlu naikkan, sebagai contoh dahulu mereka menerima bantuan sebanyak RM200, jadi pada masa kini takkan mereka masih dapat RM200 kerana harga barang juga sudah naik.

“Jadi kami akan buat kajian ini supaya ia dapat diperbetulkan semula kerana jumlahnya tidak sesuai lagi pada masa kini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di kawasan terjejas akibat banjir kilat di Taman Bukit Beruang Bestari, di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau meminta pihak berkaitan turut melibatkan wakil penduduk dalam mesyuarat bersama agensi pelaksana dalam mencari penyelesaian segera masalah banjir yang sering melanda kawasan perumahan tersebut.

“Saya mahu semua kerja-kerja yang sepatutnya pada peringkat awalan mesti dilaksanakan selain meminta agensi berkaitan turut mendengar pandangan dan pendapat penduduk kerana mereka lebih  tahu punca masalah dihadapi sebelum melaksana sesuatu projek,” katanya.

Dalam pada itu, Sulaiman turut mengumumkan rebat 15 peratus bagi bil air bulan Oktober 2021 bagi 24,141 akaun pengguna domestik di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin yang terjejas banjir. – Bernama