Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Dasar Kabotaj yang dilakanakan Kementerian Pengangkutan tidak mengekang kemasukan pelaburan asing ke negara ini.

Sebaliknya, ia dilihat memberi sinar baharu kerana mampu memberikan keuntungan kepada Malaysia, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Wee Ka Siong.

Beliau berkata, dakwaan yang dilemparkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa dasar itu telah merugikan negara tidak tepat, malah ia juga tidak dapat dibuktikan hanya semata-mata mendengar keterangan daripada bekas Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff.

“Saya dituduh kononnya menyebabkan pelabur tidak masuk ke Malaysia menyebabkan kerugian.

“Syarikat Apricot (mempunyai rancangan baharu untuk membawa satu kabel namanya Intra Asia Cabel Express ke Malaysia melalui Sabah dan Sarawak…Apakah ini tidak menguntungkan Malaysia

“Agenda mydigital yang kita idam-idamkan…sebab itu MOT rasa terpanggil untuk membawa pelaburan masuk,” katanya yang merupakan Ahli Parlimen Ayer Hitam.

Beliau berkata demikian pada sesi debat mengenai Dasar Kabotaj antara beliau dengan Ahli Parlimen Bagan itu pada malam ini.

Ka Siong berkata, tidak ada isu pun yang boleh ditimbulkan mengenai dasar kabotaj dan permasalahan hanya ditimbulkan oleh pihak-pihak yang suka menjaga tepi kain orang.

Ujarnya, beliau melihat perkara itu daripada sudut yang lebih luas iaitu menerima semua pandangan daripada syarikat gergasi.

Bagaimanapun kata beliau, ia perlu berbalik kepada pihak utama bagaimana mereka boleh menerima apa yang diputuskan oleh Malaysia.

Perbahasan dalam bahasa Melayu itu disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen berbayar Astro Awani selain turut disiarkan di aplikasi Live TV, YouTube dan Facebook.

Pada 30 September lalu, Ka Siong mencabar Guan Eng untuk berdebat berhubung isu Dasar Kabotaj Negara.

Cabaran itu dibuat secara terbuka susulan Guan Eng tidak berpuas hati dengan penjelasan yang dibuatnya berhubung isu itu di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette