Keadaan kereta yang dinaiki mangsa remuk teruk.

KLUANG – Sepasang suami isteri dan cucu mereka maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Jalan Johor, Kampung Pinggir, dekat sini, pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Fauzi Md Nor berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 9.09 pagi.

Beliau berkata, tujuh anggota dengan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa yang maut adalah pasangan suami isteri, Md Salleh Kosran, 75, dan Miskina Naining, 70, serta cucu mereka, Izzah Shahirah Sahri, 22, yang memandu kereta itu.

Bagaimanapun pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kami difahamkan kejadian itu berlaku selepas kereta jenis Perodua Alza yang dinaiki mangsa terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori jenis Hino yang dipandu Mohmad Talib Supardi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, pihak bomba mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dan mayat diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Tambahnya, operasi tamat pada jam 11.25 pagi. -MalaysiaGazette