Anggota bomba mengeluarkan dua beradik yang terkunci di dalam kereta.

MELAKA – Dua beradik berusia dua dan satu tahun diselamatkan bomba selepas terperangkap di dalam sebuah kereta yang terkunci di Jalan Kota Fesyen MITC, di sini petang tadi.

Kejadian itu berlaku ketika ibu mangsa keluar seketika ke but belakang kereta Honda Civic berkenaan sebelum pintu tiba-tiba terkunci secara automatik.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Mohd Sani Sahari berkata, pihaknya ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.57 petang.

“Setibanya di lokasi, kanak-kanak lelaki itu didapati masih terkunci dalam kereta tersebut.

“Anggota kemudian menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi tamat tujuh minit kemudian dan kedua-dua kanak-kanak berkenaan yang tidak mengalami kecederaan diserahkan kepada keluarganya. – MalaysiaGazette