Penunggang p-hailing didapati paling ramai langgar lampu merah menerusi Ops Lampu Merah JPJ Pulau Pinang.

SEBERANG PERAI – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengesan kesalahan langgar lampu merah paling tinggi direkodkan dalam Ops Merah melibatkan penunggang motosikal khidmat penghantaran barangan dan makanan (p-hailing).

Pengarahnya, Adenan Md Isa berkata, sebanyak 537 saman bernilai RM161,100 atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam tempoh 8 Oktober hingga hari ini.

Adenan (tengah).

Daripada jumlah keseluruhan itu sebanyak 236 saman dikeluarkan atas kesalahan langgar lampu isyarat dan kebanyakkan kesalahan itu dilakukan oleh penunggang p-hailing, katanya.

“Berdasarkan risikan dan hasil soal siasat, kebanyakan penunggang motosikal p-hailing ini melanggar lampu isyarat merah dengan alasan nak kejar trip tempahan pelanggan.

“Malah kita dapati ada juga penunggang p-hailing yang menggunakan laluan sehala atas alasan mahu cepat menghantar makanan kepada pelanggan.

“Mereka perlu ingat kesalahan langgar lampu merah bukan saja dikompaun RM300 malah mereka berdepan risiko lesen memandu digantung maxsimum 12 bulan menerusi mata dimerit sistem kejara,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Ops Lampu Merah di Jalan Tenggiri hari ini.

Selain kesalahan lampu merah, penunggan motosikal juga dikesan tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Tambah Adenan, tindakan penunggang p-hailing langgar lampu merah bukan saja membahayakan nyawa mereka malah boleh merisikokan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

“Mereka perlu mengutamakan keselamatan semasa memberikan perkhidmatan penghantaran bukan mengejar masa sehingga membahayakan nyawa sendiri.

“Tambahan pula, selepas aktiviti rentas negeri dibenarkan kenderaan banyak atas jalan raya sekali gus lebih merisikokan mereka sekiranya masih gagal mematuhi undang-undang yang ditetapkan,” kata beliau.

Mengulas lanjut Adenan berkata, selain langgar lampu isyarat kesalahan tidak memilik lesen memandu antara saman kedua tertinggi dikeluarkan pihaknya.

Sebanyak 537 saman dikeluarkan secara keseluruhan bermula 8 Oktober lalu.

Sebanyak 142 saman dikeluarkan atas kesalahan tiada lesen memandu dan diikuti dengan nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi (79) serta tidak pakai topi keledar (27).

“JPJ akan terus melaksanakan advokasi secara berterusan bagi memberi kesedaran kepada penunggang motosikal khususnya p-hailing.

“Tindakan penguatkuasaan merupakan langkah terakhir yang akan diambil bagi mendisiplinkan mereka yang melakukan kesalahan secara berterusan supaya lebih berhati-hati pada masa depan,” kata beliau. – MalaysiaGazette