Home Nasional Polis kesan individu terlibat nahas akibat kanvas lori terlepas dari ikatan

Polis kesan individu terlibat nahas akibat kanvas lori terlepas dari ikatan

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan individu yang terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah lori dan penunggang serta pembonceng motosikal seperti ditularkan sejak semalam.

Jurucakap Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi kenyataan berkata, pihaknya mengesan satu video kemalangan di laman Facebook yang ditulis “You Drive Like An Asshole (YDLAA)”.

Katanya, semakan mendapati, rakaman tersebut menunjukkan ia berlaku kemalangan di dalam daerah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di kilometer 33.5 Jalan Puchong/Cyberajaya/Dengkil berhampiran susur menghala ke arah Kajang.

“Rakaman itu menunjukkan kanvas dari sebuah lori tercabut dan terbang mengenai penunggang dan pembonceng motosikal yang berada di belakang lori tersebut sehingga mengakibatkan penglihatan penunggang terhalang dan penunggang hilang kawalan serta terlanggar sisi kanan sebuah lori tanker yang berada di lorong sebelah kiri sebelum terjatuh di atas jalan raya.

“Nombor pendaftaran bagi semua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan ini masih belum dapat dipastikan lagi dan sehingga kini tiada laporan polis yang telah dibuat oleh pihak yang terlibat,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, satu laporan telah dibuat oleh Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Sepang untuk memulakan siasatan.

Polis juga sedang mengesan pemilik video dashcam terbabit serta telah melawat lokasi kejadian dilaporkan berlaku.

Kes tersebut disasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette