RM10,000 EPF withdrawal Employees Provident Fund
Data terkini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan bahawa kira-kira 6.1 juta ahli KWSP mempunyai simpanan persaraan kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka dan dalam kalangan mereka 3.6 juta ahli mempunyai kurang daripada RM1,000.

KUALA LUMPUR – Kebenaran untuk ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan duit lebih awal telah menyebabkan keadaan yang “sukar diselamatkan” dan golongan berpendapatan rendah akan mengalami persaraan yang lebih susah.

Pakar ekonomi, L. L. Kong berkata, tindakan membenarkan pengeluaran daripada akaun pertama merupakan kesilapan besar yang bukan sahaja memutuskan simpanan, malahan menjejaskan pulangan melalui simpanan lama.

Katanya, kerugian itu merupakan keadaan yang amat sukar untuk diselamatkan walaupun seseorang pekerja bekerja secara keras selepas ini.

“Kebanyakan ahli yang mengeluarkan duit merupakan golongan berpendapatan rendah.

“KWSP berkata boleh memulihkan keadaan simpanan dengan bekerja secara rajin untuk tambahan enam tahun. Keadaan ini bermakna seseorang perlu mempunyai dua tiga pekerjaan untuk memulihkan simpanan.

“Jangan lupa, kadar caruman kekal pada 11 peratus. Jadi, sampai bila simpanan yang dikeluarkan itu boleh dipulihkan?” katanya kepada China Press.

Beliau berkata, dengan anggaran bahawa seorang pesara boleh hidup 20 tahun lagi selepas tidak bekerja dan memerlukan RM1,000 sebulan untuk hidup, maka simpanan hari tua yang diperlukan adalah RM240,000.

“Data bagaimanapun menunjukkan bahawa 3.6 juta ahli KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM1,000.

“Adakah jumlah ini mampu ditingkatkan kepada RM240,000?” katanya.

Sementara itu, pakar kewangan, Datuk Chua Tia Guan berkata, kemelut yang dihadapi sekarang adalah disebabkan kerajaan sebelum ini yang secara politiknya lemah dan terpaksa akur dengan permintaan pengeluaran daripada akaun KWSP.

Katanya, jumlah yang dikeluarkan pencarum adalah sangat besar, iaitu kira-kira 10 peratus daripada hasil KWSP.

“Kalau pencarum terus mengeluarkan simpanan hari tua mereka, yang akhirnya susah adalah diri mereka,” katanya. – MalaysiaGazette