Paludan negara gagal Kedah padi ringgit Malaysia
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh mengambil pendekatan melampau semasa melaksanakan larangan menyeluruh dalam proses kempen secara fizikal pilihan raya hingga membenarkan sebuah pilihan raya yang tidak telus dan adil berlangsung.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, perkara ini bertentangan dengan tema “hidup bersama Covid-19” dalam peralihan kepada fasa endemik yang membawa kepada pembukaan semula ekonomi untuk menyelamatkan nyawa dan punca pendapatan rakyat.

”Tidak ada sebab untuk Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengenakan larangan menyeluruh terhadap proses kempen secara fizikal dengan syarat SOP Covid-19 untuk mengekang penularan dipatuhi sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Justeru, katanya, menjadi tanggungjawab SPR untuk memastikan terdapat kadar keluar mengundi yang tertinggi dalam PRN Melaka dan Sarawak, sambil memastikan prosedur operasi standard Covid-19 yang ada mengekang penularan wabak ini.

“SPR tidak boleh menjadi lebih “KKM” berbanding dengan Kementerian Kesihatan sendiri,” ujarnya.

Beliau mengingatkan supaya Malaysia tidak mengikuti langkah Jordan, yang mana hanya 29% pengundi keluar mengundi manakala di Algeria pula sebanyak 30% pengundi keluar mengundi dalam pilihan raya Parlimen mereka.

”Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Kesihatan, Sains, dan Inovasi perlu memanggil SPR untuk menjelaskan bagaimana keseimbangan dapat dicapai oleh badan tersebut dalam memastikan terdapatnya pilihan raya yang bersih, adil dan bebas di Melaka dan Sarawak dan pada masa yang sama mengekang penularan wabak Covid-19 semasa negara kita sedang beralih daripada fasa pandemik kepada fasa endemik,” ujarnya. – MalaysiaGazette