KUALA LUMPUR – Jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli memohon maaf dan menerima dengan hati terbuka keputusan Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang merumuskan dia dan jurulatih lewat tiba di bilik menunggu sehingga penyertaannya di Sukan Paralimpik 2020 dibatalkan.
Ziyad berkata, dia akan menjadikan kesilapan itu sebagai pengajaran pada masa akan datang.
Atlet berusia 31 tahun itu juga berharap tiada siapa dipersalahkan dalam isu itu kerana kesilapan itu berpunca daripada pihaknya.
“Ingin saya nyatakan saya menerima keputusan siasatan itu dengan hati terbuka,
“Saya reda dan bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Keadaan ketika itu agak sukar untuk saya dan jurulatih mempertahankan dakwaan kami tetapi kami mengakui, tanpa kami sedari, kami melakukan kesilapan seperti didakwakan.
“Maafkan kami sebab kecewakan semua dan percayalah kami tak mahu keadaan seperti itu. Kami akan jadikan kesilapan itu sebagai pengajaran pada masa akan datang.
“Saya harap isu ini tidak dispekulasikan dan dibangkitkan oleh mana-mana pihak. Tak ada siapa patut dipersalahkan kerana kalau ada pun kesilapan adalah atas kelemahan diri kami sendiri.
“Buat masa ini, saya lebih fokus untuk meneruskan latihan seperti biasa sebagai persediaan bagi temasya akan datang. InsyaAllah, keputusan ini tak melemahkan semangat dan memberi motivasi kepada saya untuk menghasilkan keputusan lebih baik di masa akan datang,” katanya.
Ziyad berkata demikian dalam satu hantaran video menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memaklumkan mengenai hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang dipengerusikan Tan Sri Borhan Dolah.
Rumusan daripada siasatan berkenaan mendapati, Ziyad dan jurulatih, Mohd Faizol Harun tidak dapat membuktikan mereka tiba pada waktu ditetapkan untuk pendaftaran di bilik menunggu biarpun kedua-duanya menganggap mereka tiba tepat pada waktunya.
Ziyad terlepas emas dan rekod dunia dilakukannya di Tokyo dengan catatan 17.94 meter (m) selepas penyertaannya diklasifikasikan sebagai DNS (tidak bermula) susulan protes dilakukan Ukraine disebabkan kelewatannya tiba di bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.
Bagaimanapun, Ziyad dan Faizol sebaik tiba di tanah air ketika menceritakan semula detik ‘hitam’ yang berlaku di Stadium Olimpik Tokyo itu menegaskan, mereka tiba di bilik menunggu tepat pada masanya iaitu jam 5.55 petang seperti ditetapkan dalam peraturan. – MalaysiaGazette