Calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) DUN N.15 Pengkalan Batu, Mohd Aluwi Sari berbincang sesuatu bersama jentera PUTRA ketika di bilik gerakan di DUN Paya Rumput, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) yang bertanding buat pertama kali di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi membuktikan mereka bukan parti hipokrit.

Datuk Ibrahim Ali yang merupakan presidennya berkata, langkah itu diperkuatkan lagi dengan parti itu tidak bekerjasama dengan mana-mana parti dan bergerak solo pada PRN kali ini.

“Kita bertanding untuk mengetahui pelbagai aspek sebab ini kali pertama sebagai parti kita bertanding, kita bertanding solo. Ini untuk membuktikan bahawa kita bukan parti hipokrit, kita bukan parti bersifat munafik.

“Itu bezanya sebab ada parti yang mengatakan mereka memperjuang agenda Melayu tapi partinya pelbagai kaum, ada parti yang katakan mereka memperjuangkan Islam tapi bila mendapat kuasa, sudah bertukar daripada syurga akhirat kepada syurga dunia,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan PUTRA di DUN Pengkalan Batu hari ini.

Selain PUTRA, UMNO juga mengumumkan untuk bertanding secara solo di PRN Melaka.

Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata bahawa BN akan bertanding secara solo dan menggunakan logo sendiri, serta tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti lain dalam PRN yang dijadualkan pada 20 November itu.

Mengulas mengenai bertanding secara solo, Ibrahim berkata PUTRA menolak untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak kerana mahu bercakap secara bebas tanpa sekatan.

“Bila terikat dengan pelbagai blok kita tidak bebas bercakap dan tidak bebas untuk bersuara demi kepentingan tertentu kerana terikat dengan pihak lain,” katanya lagi.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali bercakap kepada media ketika di bilik gerakan di DUN Paya Rumput, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2021.

PUTRA meletakkan lima calon iaitu Pengerusi Perhubungan PUTRA Melaka, Dr Aluwi Sari, 55 akan yang bertanding di kerusi DUN Pengkalan Batu diikuti Ketua Wira PUTRA negeri, Mohamad Hashidi Mohd Zin, 32 (Paya Rumput); Nazatul Asyraf Md Dom, 38 (Sungai Rambai); Ketua Biro Wanita PUTRA Melaka, Laila Norinda Maon, 44 (Gadek) dan Ketua Bahagian PUTRA Melaka, Mohd Faizal Amzah (Duyong).

Untuk rekod, kesemua kerusi ini turut ditandingi UMNO-BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan tidak termasuk calon bebas, Datuk Norhizam Hassan Baktee di kerusi DUN Pengkalan Batu. – MalaysiaGazette