The voters in Tanjung Bidara Constituency are excited with the outcome of the fight between the candidates from Perikatan Nasional (PN) and UMNO in the coming Melaka state election Ab Rauf Yusoh Mas Ermieyati Samsudin
The voters in Tanjung Bidara Constituency are excited with the outcome of the fight between the candidates from Perikatan Nasional (PN) and UMNO in the coming Melaka state election. Pengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di sini ternanti-nanti melihat pertembungan antara calon Perikatan Nasional (PN) dan UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

MELAKA – Pengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di sini ternanti-nanti apa keputusan dalam pertembungan antara calon Perikatan Nasional (PN) dan UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Seorang pengundi, Muhamad Razif Roslan, 36, dirinya dan juga ramai orang lagi sebenarnya mahu melihat pertembungan antara protege dan bekas mentor itu pada kemuncak kepada PRN kali ini.

“Dari situ, kita tengok adalah protege itu boleh kalahkan mentor dia sendiri, kita tahu sekarang nak kempen secara bersemuka pun tak boleh, jadi kita tengok pengundi nilai daripada segi apa nanti.

“Daripada segi jasa atau reputasi kita lihat nanti. Adakah ahli Parlimen itu (Mas Ermiyati) nanti ada sokongan kuat atau tidak,” katanya kepada MalasyiaGazette ketika ditemui hari ini.

Hari penamaan yang dijadualkan akan diadakan esok  tertumpu di beberapa kerusi DUN antaranya DUN Tanjung Bidara yang menyaksikan UMNO meletakkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menentang penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dari Perikatan Nasional (PN) yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Muhamad Razif Roslan. Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2021.

Jelas Muhamad Razif, DUN Tanjung Bidara sememangnya  kubu kuat UMNO dan sudah tiba masanya untuk Mas Ermieyati untuk memecahkan penguasaan UMNO di Parlimen Masjid Tanah.

“Kalau macam di kawasan saya, pertembungan itu menarik sebab bagi saya ia adalah kubu kuat parti politik, daripada dahulu ia kuat. Kalau kita undi parti lain pun parti itu tidak pecah.

“Pengaruh parti itu sangat besar, pandang kepada nama-nama itu memang saya terkejut sebab ada nama besar,” katanya lagi.

Untuk rekod, Parlimen Masjid Tanah mempunyai lima DUN iaitu Tanjung Bidara, Ayer Limau, Kuala Linggi, Lendu dan Taboh Naning yang kesemuanya dimenangi UMNO-BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Mohd Azrol Affendi. Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2021.

Dalam pada itu, seorang pengundi di DUN Rumbia, Mohd Azrol Affendi, 39, pula berkata dirinya tidak mempunyai perasaan untuk turun mengundi pada 20 November depan.

Katanya, proses mengundi hanyalah membuang masa kerana suasana politik semasa di Melaka sangat tidak stabil.

“Saya tidak ada mood untuk mengundi sebab kalau boleh buat satu Malaysia senang, nanti nak undi lagi sekali buang masa kami.

“Yang datang ke sini kita tidak tahu positif ke takkan? Buat masa ini saya rasa politik di Melaka memang tidak stabil, sekarang macam-macam perkara sebab yang tuding jari sana sini dan ini menyusahkan rakyat,” katanya.

Muhamad Aswad Alimat. Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2021.

Nada sama turut dikongsikan Muhamad Aswad Alimat yang juga akan mengundi pada 20 November depan di DUN Rim.

Menurut lelaki berusia 33 tahun ini, beliau mengambil pendirian untuk tidak turun mengundi sebagai tanda protes pada PRN kali ini.

“Saya rasa tidak adakan PRN, takut jadi macam Sabah nanti, gelombang Covid-19 teruk sangat. Tahu-tahu kes naik menyusahkan rakyat pula nanti. Saya tidak mahu mengundi,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada esok hari manakala undi awal pada 16 November ini.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – MalaysiaGazette