Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani . Foto HAZROL ZAINAL, 08 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara akan berada di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada malam ini untuk mendengar taklimat prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Dalam masa yang sama Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, beliau akan meneliti gerak kerja anggota polis sepanjang tempoh berkempen di negeri itu, bagi memastikan penguatkuasaan SOP dilaksanakan dengan baik.

“Saya ke sana untuk mendengar taklimat daripada Ketua Polis Melaka dan juga untuk kita meneliti SOP PRN Melaka supaya gerak kerja pelaksanaan SOP dilaksana sebaik mungkin sepanjang tempoh berkempen di Melaka,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan Kempen Pencegahan Jenayah Komersil (Jenayah Dalam Talian) 2021.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengeluarkan SOP  khas PRN Melaka pada hari ini.

Untuk rekod, minggu lalu, Kerajaan Negeri Melaka dilaporkan sedang memperhalusi SOP khas berkenaan, sejurus selepas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan larangan aktiviti perhimpunan dan majlis sosial berkaitan pilihan raya bermula 25 Oktober lalu hingga 27 November ini.

Larangan itu dibuat berdasarkan peruntukan mengikut subperaturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021. – MalaysiaGazette