Prof. Dr. Nazamid Saari dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Putra Malaysia (TNCPI UPM), berkuatkuasa pada 25 Oktober 2021- Foto UPM

SERDANG – Prof. Dr. Nazamid Saari dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Putra Malaysia (TNCPI UPM), berkuatkuasa pada 25 Oktober lalu sehingga beliau bersara wajib pada 19 September 2023.

Beliau menggantikan Prof. Datuk Dr. Zulkifli Idrus yang telah menamatkan khidmat sebagai TNCPI UPM pada14 April lalu.

Nazamid memegang portfolio mengetuai pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) serta menguruskan hal ehwal penyelidikan universiti dan pengkomersilan hasil penyelidikan.

Beliau merupakan pakar bioteknologi dan enzimologi makanan mendapat ijazah Bacelor Sains dan dan Teknologi pada tahun 1986, Ijazah Sarjana Biokimia Makanan dari Saga University, Jepun pada tahun 1993, dan Doktor Falsafah (PhD) dari Kagoshima University, Jepun pada tahun 1996.

Nazamid mula menyertai UPM di Fakulti Sains dan Teknologi Makanan pada tahun 1996 sebagai pensyarah dan dinaikan pangkat kepada Profesor Madya pada tahun 2001, seterusnya Profesor penuh pada tahun 2008.

Kerjaya beliau semakin menyerlah apabila mengetuai Unit Perundingan Fakulti, menjadi Ketua Jabatan Sains Makanan, Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, UPM dan Timbalan Pengarah, Pusat Pembangunan Akademik (CADe), UPM.

Nazamid sangat dikenali di Malaysia dan peringkat antarabangsa dalam bidang Bioteknologi dan Enzimologi Makanan serta kerap mendapat undangan sebagai speaker dan panellist dalam forum, seminar dan konferensi yang berkaitan dengan Sains dan Teknologi Makanan dan juga dikenali sebagai penceramah berkaitan outcome-based education dan pembangunan kurikulum pengajian tinggi.

UPM dalam kenyataannya berkata, Nazamid sudah menerbitkan lebih 219 penerbitan dalam jurnal berwasit berimpak tinggi disamping penerbitan lain seperti prosiding, buku, bab dalam buku, dan dalam bentuk laporan teknikal hasil dari penyelidikan yang dijalankan.

Selain itu, beliau mempunyai 10 patent filings dan telah membentangkan lebih 200 kertas kerja di pelbagai persidangan kebangsaan dan antarabangsa.

Ahli pengurusan UPM menyifatkan perlantikan Nazamid akan dapat menyokong UPM memperkukuhkan kedudukan universiti penyelidikan dengan memberikan komitmen kepada aktiviti penyelidikan, inovasi dan pengkomersilan hasil penyelidikan. -MalaysiaGazette