Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin melambai ketika hadir menghantar borang pencalonan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Pusat Penamaan Calon N.02 Tanjung Bidara di Kompleks Japerun Tanjung Bidara, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 08 NOVEMBER 2021.

MASJID TANAH – Pesaing kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ab Rauf Yusoh, Datuk Seri Mas Ermieyati Samsudin menyerahkan kepada pengundi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara untuk menilai beliau yang bertanding di kawasan itu.

Mas Ermieyati berkata, beliau menggalaskan perkhidmatan yang dilakukan sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah untuk dinilai oleh pengundi Tanjung Bidara.

“Saya akan buat pengumuman komitmen saya special appereance (penampilan khas) saya dalam memberi tahu (berhubung) komitmen saya sebagai calon.

“Saya sedang kemas kini, itu saya tak panggil manifesto tetapi komitmen, manifesto mungkin ada orang trauma tapi kita tak nak panggil manifesto,” jelasnya dalam sidang media di Bilik Gerakan Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Tanjung Bidara, hari ini.

Beliau antara tiga calon selain Ab Rauf dan Zainal Hassan yang mewakili Pakatan Harapan (PH).

Ditanya mengenai persaingan beliau dengan Ab Rauf, Mas Ermieyati melahirkan keyakinan mempunyai peluang untuk merampas kerusi itu daripada UMNO.

“Walaupun ini merupakan kubu Barisan Nasional (BN), saya fikir dalam mana-mana pertandingan semua orang ada peluang, semua orang saya tak bercakap hanya di sini.

“Kita harus menggunakan masa dan kebijaksanaan dan paling penting ianya terpulang kepada pengundi itu sendiri bagaimana menilai track record saya sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah selama ini.

“Bagaimana mereka melihat khidmat saya dan bagaimana mereka memberi harapan mereka terhadap wakil rakyat beri khidmat, nanti mereka ingin pilih nanti dalam PRN nanti,” katanya lagi.

Kerusi Tanjung Bidara sebelum ini disandang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Md Rawi daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. – MalaysiaGazette