Troy Finner. foto AP

TEXAS – Polis Houston telah membuka siasatan jenayah berhubung kematian penonton di Festival Astroworld yang berlaku pada Jumaat lalu.

Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan beratus-ratus orang cedera selepas para penonton berasak-asak pada malam pembuka tirai acara muzik itu.

Mangsa yang terkorban berusia antara 14 dan 27 tahun dan sebahagian identiti mereka sudah pun didedahkan.

Polis juga sedang menyiasat laporan bahawa ada dalam kalangan penonton telah menyuntik orang ramai dengan dadah.

Insiden itu bermula kira-kira 0.15 malam (02:15 GMT Sabtu) apabila panik tercetus selepas orang ramai mula bergerak ke arah hadapan pentas semasa penyanyi rap Travis Scott membuka tirai konsert.

Kira-kira 300 orang penonton dirawat kerana mengalami luka dan lebam.

Siasatan polis akan melibatkan bahagian pembunuhan dan narkotik dengan menyemak video dari tempat kejadian untuk menentukan punca kejadian itu dan mengapa orang ramai tidak dapat melarikan diri.

Beberapa penonton konsert terpaksa diselamatkan dengan ubat anti-dadah, termasuk seorang pegawai keselamatan yang menurut polis mempunyai kesan suntikan di lehernya.

“Kami mempunyai laporan seorang pegawai keselamatan… mendakwa dia ditahan daripada menangkap seorang dan dia merasakan lehernya dicucuk.

“Pengawal keselamatan ini tidak sedarkan diri dalam kejadian itu,” kata Ketua Polis Houston Troy Finner.

Bagaimanapun dia berjaya diselamatkan dan kakitangan perubatan mengesahkan ada kesan suntikan pada tubuh pengawal keselamatan itu.

Kira-kira 50,000 orang penonton telah menyertai acara tersebut. – BBC

8 maut di festival muzik

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast