JAS Pulau Pinang keluarkan kompaun ke atas pemilik sebuah tapak pembinaan di Seberang Perai susulan lakukan pembakaran terbuka.

SEBERANG PERAI – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan kompaun ke atas pemilik sebuah tapak pembinaan, di sini, susulan dikesan melakukan aktiviti pembakaran secara terbuka di kawasan tersebut.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kompaun berjumlah RM2,000 itu dikeluarkan ke atas pemilik premis ketika pihaknya melakukan pemantauan rutin di sekitar kawasan berkenaan.

“Penduduk di negeri ini dinasihatkan untuk memberhentikan amalan pembakaran terbuka bagi menjaga kualiti udara persekitaran selain berdepan tindakan undang-undang sekiranya ingkar.

“Pembakaran terbuka merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 bagi setiap longgokan pembakaran dan denda maksima RM500,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-dua sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Sharifah Zakiah berkata, sisa pepejal termasuk meja kayu boleh dikitar semula dan pihak yang berminat boleh menyertai komuniti Zero Waste Network. – MalaysiaGazette