Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan kemasukan murid Tahun 1 hingga Tahun 6 di sekolah rendah serta kelas peralihan dan Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 bagi negeri Kedah, Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah mengikut kaedah penggiliran.

Pembukaan sekolah itu bermula pada 21 November ini bagi negeri Kedah dan  22 November untuk Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah.

Manakala kehadiran murid di sekolah asrama sepenuhnya adalah tanpa penggiliran.

KPM berkata, perincian mengenai kemasukan murid sekolah asrama sepenuhnya akan dimaklumkan oleh pihak sekolah kepada ibu bapa/penjaga.

”KPM sentiasa memantau dan meneliti keadaan semasa pengoperasian sekolah secara bersemuka semenjak dibuka semula bermula 3 Oktober 2021.

”Dapatan daripada pemantauan dan penelitian menunjukkan bahawa pengoperasian sekolah berjalan dengan lancar dan teratur mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

”Setelah mengambil kira dapatan ini serta situasi semasa pandemik Covid-19, KPM memutuskan kehadiran murid pada kali ini
tidak dilaksanakan secara berperingkat namun mengekalkan kaedah penggiliran,” jelasnya. – MalaysiaGazette