Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR –  Kerajaan Pakatan Harapan tidak pernah meluluskan pertukaran Kenderaan Rasmi Jawatan (KRJ) bagi Menteri-menteri Persekutuan daripada Proton Perdana 2.4 Premium kepada Toyota Vellfire 2.5L.

Kenyataan terbaharu ini oleh Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ini  ternyata bercanggah dengan kenyataan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang menjelaskan cadangan penggantian kereta Proton Perdana kepada kenderaan lain seperti Vellfire telah dipertimbangkan semasa pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan.

Guan Eng berkata, selaras dengan prinsip perbelanjaan berjimat cermat dan berhemah, menteri-menteri Kerajaan PH telah menggunakan kenderaan Proton Perdana, bukan seperti sekarang menggunakan Toyota Vellfire 2.5 yang lebih mewah.

Justeru, beliau tidak dapat memastikan kesahihan sama ada pertukaran KRJ ini dibuat antara lainnya berdasarkan kos sewaan Toyota Vellfire 2.5 lebih rendah berbanding Proton Perdana 2.4 Premium.

Artikel berkaitan: Kos sewaan lebih rendah, kereta rasmi menteri ditukar Vellfire 2.5L

Menteri guna Vellfire, tanyalah pada Atok dan abah – Najib

Vellfire untuk menteri, kenapa salah Najib pula?

”Adakah kenderaan jenama lain yang lebih murah dan sepadan dengan kelengkapan kereta Proton Perdana 2.4 Premium dipertimbangkan selain daripada memastikan keutamaan diberikan kepada kereta buatan Malaysia?,” soal beliau.

Lantaran itu, demi prinsip akauntabiliti dan ketelusan, Kementerian Kewangan diminta  memaklumkan kepada orang ramai sama ada tender terbuka dilaksanakan dan syarikat manakah yang menguruskan penyewaan baru kenderaan rasmi Kerajaan Persekutuan.

Tengku Zafrul dalam penjelasannya baru-baru ini berkata, cadangan penggantian kereta Proton Perdana kepada kenderaan lain seperti Vellfire sebenarnya telah dipertimbangkan semasa pentadbiran kerajaan terdahulu tetapi ditangguhkan dan hanya dilaksanakan pada tahun ini.

Katanya, usia KRJ bagi Jemaah Menteri sebelum penggantian pada tahun ini ada yang mencecah usia enam tahun sedangkan penggantian KRJ bagi Jemaah Menteri sebenarnya dijadualkan setiap empat tahun sekali.

Keputusan pertukaran KRJ ini juga dibuat antara lainnya berdasarkan kos sewaan bulanan Toyota Vellfire 2.5 yang lebih rendah dari kos sewaan bulanan Proton Perdana 2.4 Premium, kata Menteri Kewangan itu. – MalaysiaGazette