Zainal Abidin Hassan. Foto Facebook Melaka United.

KUALA LUMPUR – Kemenangan 2-0 berdepan Kedah Darul Aman FC dan seterusnya menjuarai Kumpulan C TM Piala Malaysia 2021 menjadi hadiah paling bermakna buat pengendali Melaka United FC, Zainal Abidin Hassan yang menyambut hari lahir ke-60 semalam.

Menurutnya, beliau lega melihat rentak pasukan terus konsisten dalam saingan TM Piala Malaysia selain belum pernah mencatat sebarang kekalahan sejak lima perlawanan lalu.

Selain itu, pemain-pemain tampak sudah kurang melakukan kesilapan terutama di bahagian pertahanan yang menjadi antara pemangkin di sebalik prestasi cemerlang Melaka United, setakat ini.

“Terima kasih kepada seluruh pasukan dari pemain dan pengawai yang menghadiahkan kemenangan sempena hari jadi saya pada hari ini (semalam).

“Namun, apa paling penting ialah momentum pasukan yang seperti saya inginkan dalam saingan Piala Malaysia kali ini dapat diteruskan.

“Hasrat saya mahu membawa Melaka United lebih jauh dalam pertandingan kali ini dan satu lagi perkara yang gembira ialah pemain sudah kurang lakukan kesilapan yang tidak sepatutnya.

“Kita sudah melakukan post mortem terhadap bagaimana kita boleh bolos tiga gol dalam perlawanan yang lepas (Kelantan United) dan ternyata mereka berjaya atasi kelemahan yang dikesan.

“Pemain telah bekerja keras dan cukup berdisiplin dalam perlawanan ini kerana bukan mudah untuk bermain dengan Kedah yang punyai jentera terbaik selain JDT, ” katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia di sini.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka United mendahului separuh masa pertama melalui pemain tengah, Manuel Ott pada minit-24 sebelum penyerang, Giovani Gomes menambah satu lagi gol pada minit-89.

Melaka United muncul juara kumpulan selepas mengumpul 16 mata sementara Kedah yang bakal berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada suku akhir, menamatkan cabaran selaku naib juara menerusi pungutan 12 mata.

Sementara itu, Sabah FC muncul pasukan terakhir layak ke suku akhir dan akan bertemu Melaka United apabila menang tipis 1-0 berdepan PJ City FC, hasil jaringan penalti Risto Mitrevski pada minit-21.

JDT pula merakamkan rekod bersih kemenangan 100 peratus apabila mudah membenam Kelantan 4-0 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu.

Semua gol diperolehi pada separuh masa kedua bermula dari Syafiq Ahmad (minit ke-48), diikuti sepakan penalti Leandro Velazquez (minit ke-60), Guiherme de Paula (minit ke-62) dan yang terakhir menerusi Shahrul Saad (minit ke-90+1). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast