Pihak forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi penemuan mayat lelaki di kawasan hutan berhampiran Jalan Jarak Atas menghala Ara Kuda, Tasek Gelugor di sini.

TASEK GELUGOR – Mayat lelaki dalam keadaan berulat ditemui di kawasan hutan berhampiran Jalan Jarak Atas menghala Ara Kuda, di sini, semalam.

Mayat itu ditemui dua anggota bomba sukarela dari Lunas, Kedah yang dalam perjalanan pulang selepas melepaskan seekor ular tedung selar serta biawak di kawasan hutan berkenaan.

Kawasan hutan itu merupakan lokasi utama pihak bomba sukarela tersebut melepaskan binatang berbisa yang ditangkap hasil daripada aduan penduduk sekitar Lunas.

Mayat lelaki tanpa identiti itu ditemui dalam keadaan berulat.

MalaysiaGazette difahamkan, ketika dalam perjalanan pulang mereka ternampak satu bungkusan berwarna biru di kawasan hutan terbabit sebelum mendapati ia berisi mayat.

Susulan itu, anggota bomba sukarela tersebut memaklumkan penemuan mayat terbabit kepada pihak polis kira-kira jam 11.55 malam.

Difahamkan, mayat lelaki tanpa identiti itu dipercayai sudah meninggal dunia lebih empat hari berikutan keadaan mayat sudah kembung selain berulat.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan ditutup dengan kain kanvas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan penemuan mayat itu.

“Mayat tersebut dihantar ke Hospital Seberang Jaya dan proses bedah siasat akan dilakukan sebaik mendapat keputusan ujian calitan Covid-19.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut setakat ini sementara menunggu laporan bedah siasat,” kata beliau. – MalaysiaGazette