Kolaborasi InTeam bersama Peduli Insan sehingga Oktober lalu telah mencapai kutipan dana sehingga RM370,000.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Peduli Insan Malaysia atau lebih dikenali sebagai Peduli Insan meneruskan usaha membantu pelarian-pelarian Syria di wilayah utara negara itu dalam mengharungi musim sejuk yang boleh mengugat nyawa.

Pengerusi Peduli Insan, Mohd. Luqmanulhakim Mohd Rezuan berkata, menerusi kempen Musim Sejuk Syria pada tahun 2020/2021, pihaknya berjaya membantu 60,000 keluarga di negara tersebut.

Tambah beliau, bagi kempen kali ini, Peduli Insan mensasarkan bantuan daripada segi pakaian, barangan keperluan seperti alat pemanas dan bahan bakar serta bakul makanan untuk kira-kira 250,000 pelarian Syria.

“Musim sejuk di Syria boleh mencecah sehingga paras suhu negatif lima darjah celsius dan pelarian-pelarian Syria yang hanya tinggal di dalam khemah sering berdepan dengan bencana banjir di dalam musim sejuk menyebabkan khemah, barangan keperluan seperti makanan, pakaian, selimut dan sebagainya musnah.

“Dengan ujian penyakit tular dan berbahaya Covid-19, pelarian Syria yang tinggal di kem-kem ini juga menghadapi kesukaran dari segi mendapatkan makanan dan rawatan secukupnya, justeru berdepan ancaman nyawa terutama kanak-kanak, para wanita dan orang tua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan kempen Musim Sejuk Syria untuk tahun 2021/2022 (Siri 10) di Shah Alam, semalam.

Kempen itu dijalankan dengan kerjasama kumpulan nasyid, InTeam.

Pertubuhan Peduli Insan melancarkan kempen Musim Sejuk Syria untuk tahun 2021/2022 (Siri 10).

Mohd. Luqmanulhakim menambah, fokus Peduli Insan bagi kempen kali ini akan tertumpu kepada dua inisiatif iaitu Selimut Kasih Syria dan Suapan Kasih Syria.

Kata beliau, inisiatif Selimut Kasih Syria adalah daripada segi membekalkan pakaian, bahan bakar, alat pemanas dan juga selimut kepada pelarian-pelarian Syria agar mereka dapat menghadapi musim sejuk dengan keadaan yang lebih selesa dan selamat dalam menghadapi musim sejuk.

“Manakala bagi inisiatif Suapan Kasih Syria, fokusnya adalah tertumpu kepada bakul makanan yang mengandungi barangan asas, makanan panas dan juga pelaksanaan sembelihan buat ibadah akikah, nazar dan sedekah di mana daging sembelihan akan diberikan kepada penduduk di kem-kem pelarian Syria ini,” katanya.

Sementara itu, Hazamin yang merupakan salah seorang ahli kumpulan InTeam berkongsi mengenai rasa teruja kumpulan nasyid tersebut di atas peluang kerjasama dan kepercayaan yang diberikan oleh Peduli Insan.

Kata beliau lagi, peminat InTeam memberikan reaksi baik serta sokongan penuh di atas kerjasama ini dan hasil sumbangan yang telah terkumpul sejak permulaan kolaborasi bersama Peduli Insan sehingga Oktober lalu telah mencapai kutipan dana sehingga RM370,000.

“Setiap sumbangan yang diberikan oleh rakyat Malaysia akan dimanfaatkan untuk memberi bantuan kepada kira-kira 250,000 pelarian Syria,” katanya.

Orang ramai yang ingin turut serta bersama-sama Peduli Insan dalam menjayakan misi Kempen Musim Sejuk Syria 2021/2022 boleh menyumbang ke Bank Islam: 1203 8010 1363 75 (Pertubuhan Peduli Insan Malaysia).

Untuk maklumat lanjut, mereka boleh menghubungi Pegawai Perhubungan Awam & Media Pertubuhan Peduli Insan Malaysia di talian 0167706432 atau melalui lawan web rasmi Peduli Insan di www.peduliinsan.org. – MalaysiaGazette