Pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan merogol anak kandungnya berusia 22 tahun pada Mei lalu.- Gambar hiasan.

BUTTERWORTH – Polis menahan seorang lelaki warga Myanmar bagi membantu siasatan kes rompak dan rogol di Lebuh Kampung Benggali, di sini, semalam.

Suspek berusia 31 tahun yang mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang sah itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas D9, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara kira-kira jam 10 pagi.

MalaysiaGazette difahamkan, tangkapan ke atas lelaki yang bekerja sebagai pembantu kedai itu dilakukan selepas pihak polis menerima laporan daripada seorang wanita yang menjadi mangsa rompak dan rogol suspek pada 4 November lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu mangsa dikatakan sedang tidur di dalam biliknya di Pangsapuri Ria, di sini, sebelum lampu bilik terbabit ditutup lelaki tidak dikenali.

Difahamkan, suspek mengacukan pisau ke arah mangsa sebelum mengarahkan wanita itu membuka pakaian dalam dan merogolnya.

Susulan itu, suspek turut melarikan wang tunai serta barang kemas milik mangsa bernilai RM10,000.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut. – MalaysiaGazette