Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menyifatkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilaksanakan ketika ini gagal selepas kerajaan tidak lagi mematuhi pelan itu.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, berdasarkan PPN, purata kes harian Covid-19 di Malaysia perlu berada di bawah 4,000 kes selama tujuh hari berturut-turut bagi membolehkan negara beralih ke fasa kedua.

Bagaimanapun, jelas beliau, ketika ini kes Covid-19 melebihi 4,000 kes sehari dan sepatutnya negara tidak boleh beralih ke fasa seterusnya.

“Langkah ini menunjukkan bahawa pelan ini sudah tidak dinamik lagi seperti didakwa.

“Mesti dirombak dan dikaji semula supaya satu PPN baru sesuai dengan keadaan dan suasana yang baharu,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengajukan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mastura Mohd. Yazid mencadangkan Guan Eng mengemukakan cadangan yang lebih baik dalam mengawal Covid-19 kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Negara.

“Sekiranya dianggap gagal, saya Yang Berhormat (YB) yang juga ahli di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Negara bersama-bersama kita fikirkan jalan keluar yang dianggap lebih baik,” katanya.

Bagaimanapum, Guan Eng menjelaskan, Mastura telah tersilap kerana beliau bukan ahli di dalam Jawatankuasa PPN.

“Saya bukan ahli jawatankuasa PPN. Saya ingat YB silap. Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Negara tidak ada kaitan dengan PPN. Saya harap YB boleh akui ia sudah silap,” katanya.

Dalam pada itu, Mastura membalas dengan menjawab beliau menyerahkan keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast