Ahmad Jazlan Yaakub

KUALA LUMPUR – Rang Undang-undang (RUU) AntiLompat Parti perlu segera dibentangkan supaya dapat dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ahli Parlimen Kerajaan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) berkata, RUU itu mesti dipercepatkan jika kerajaan mempunyai kesungguhan untuk melihat kestabilan negara dan politik.

“RUU ini penting kerana selepas PRU-14, keadaan politik negara kita tidak stabil. Ini mengakibatkan kedudukan ekonomi meruncing, ditambah pula dengan pandemik Covid-19.

“Negara lain tiada seperti Malaysia kerana dalam tempoh dua tahun, kita bertukar tiga kerajaan. Bagi saya, amat perlu ini disegerakan kerana apa yang berlaku seolah-olah kita tidak serius.

“Kini berlaku di Melaka sehingga diadakan pilihan raya negeri (PRN),” katanya ketika membahaskan RUU Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Ahmad Jazlan menambah,  suasana politik negara dan bentuk kerajaan yang akan diwujudkan selepas PRU15 juga dalam tidak ketentuan sama ada masih dengan majoriti nipis atau sebaliknya.

“Jika wujud majoriti nipis, dengan tiada akta anti-lompat parti, ada kemungkinan ada dalam ahli Dewan Rakyat melompat parti.

“Ini akan menjadikan politik tidak stabil dan mungkin kerajaan dibentuk boleh runtuh. Jadi, saya sokong RUU dan minta disegerakan dan tidak boleh dilewatkan lagi.

Gesaan yang sama turut dibuat seorang lagi Ahli Parlimen Kerajaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) yang mahu RUU Anti Lompat parti disegerakan.

“Seperti dibangkitkan Yang Berhormat Machang tadi, saya juga menggesa RUU Anti Lompat Parti ini disegerakan,” katanya.

Pada 20 Ogos lalu, Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri selepas beberapa Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Awal tahun lalu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia keluar dari kerajaan Pakatan Harapan mengakibatkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hilang majoriti di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette