Kerani Pilihan Raya membuat kerja-kerja persiapan terakhir menjelang undi pos. - Gambar hiasan

AYER KEROH – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan sebanyak 7,601 kertas undi pos pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengeluaran kertas undi pos itu adalah seperti yang diperuntukkan di bawah peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 bagi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15.

Katanya, pengeluaran kertas undi pos pada hari semalam dijalankan oleh petugas pilihan raya di semua 28 kawasan DUN.

“Kesemua 7,601 kertas undi pos tersebut terdiri daripada 6,871 kategori Borang 1A (Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera, dan petugas media, 511 undi pos bagi kategori borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara), 113 kategori borang 1C (sembilan agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan) dan 106 pengundi tidak hadir (PTH) Luar Negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ikmalrudin berkata, proses pengeluaran kertas undi pos itu dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding.

Jelas beliau, pihaknya mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum pukul 5 petang pada hari mengundi, 20 November ini.

“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” tambahnya. – MalaysiaGazette