Pemain Uitm FC, Sean Gan Giannelli meraikan jaringan pertama pada perlawanan Liga Super Malaysia 2021 di Stadium Bola Sepak Uitm Shah Alam, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI,07 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Pasukan UiTM FC melakukan rombakan besar-besaran, baik dari segi pemain mahu pun staf kejurulatihan, bagi menghadapi saingan Liga Premier musim hadapan.

Perkara ini diumumkan oleh kelab itu di laman media sosial yang mana UiTM FC sedang mencari pemain bagi membarisi skuad yang akan bersaing di Liga Premier selain Piala Presiden dan Piala Belia.

Selain itu, UiTM juga mencari ketua jurulatih, penolong ketua jurulatih, penolong jurulatih, jurulatih penjaga gol, jurulatih kecergasan, ahli fisioterapi danĀ kitman.

The Lion Troops menampilkan prestasi hambar dalam saingan Liga Super musim ini selepas mereka menduduki tangga tercorot, sekali gus tersingkir ke saingan Liga Premier musim hadapan selain tidak layak beraksi di Piala Malaysia musim ini.

Prestasi UiTM musim ini cukup berbeza jika dibandingkan dengan musim 2020 yang mana pasukan itu menamatkan saingan Liga Super di tangga keenam, hanya dibezakan oleh jumlah jaringan dengan pasukan di tangga kelima iaitu Selangor.

Malah prestasi kelab itu lebih baik berbanding pasukan yang mempunyai bajet lebih besar seperti Sri Pahang, Melaka United dan Sabah.

Pemain import yang kurang menyerlah juga menjadi salah satu sebab mengapa pasukan itu gagal untuk menampilkan prestasi terbaik meskipun mereka menukar sebahagian besar pemain import pada jendela perpindahan kedua.

Faktor lain yang menjadi penyumbang kepada kejatuhan UiTM ke divisyen dua musim hadapan ialah pertukaran ketua jurulatih antara Frank Bernhardt dan Reduan Abdullah pada pertengahan musim.

Mengikut jejak langkah UiTM tersingkir ke Liga Premier ialah Perak yang mana pasukan itu ketika ini sedang berdepan krisis prestasi dan juga keengganan pihak pengurusan untuk meringankan syarat bagi mana-mana pihak yang mahu membeli saham pasukan. – MalaysiaGazette