Najib Razak

KUALA LUMPUR – Seorang saksi dalam perbicaraan penyewelengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di sini hari ini mendakwa  ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho berperanan sebagai orang kanan serta pembawa mandat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Saksi ke-12, Azmi Tahir yang juga bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB mendakwa Taek Jho atau lebih popular dengan panggilan Jho Low sebenarnya bertindak sebagai penasihat kepada Najib.

Dakwa Azmi, amat ketara peranan yang dimainkan oleh Jho Low kepada Najib terutama dalam urusan melibatkan 1MDB.

Jelas beliau ketika membacakan keterangan saksinya yang mempunyai 127 muka surat, dirinya dilantik menjadi CFO pada 2012 selepas diperkenalkan kepada Jho Low oleh arwah Datuk Azlin Alias.

Malah ketika diperkenalkan Azlin di sekitar KLCC, Jho Low disebut sebagai Penasihat 1MDB kepada Najib.

“Jho Low turut memberitahu semua arahan yang diberikan olehnya dan Datuk Azlin adalah mandat dari Datuk Seri Najib dan perlulah dipatuhi.

“Semua arahan yang dibuat Jho Low konsisten dengan apa yang diluluskan oleh Datuk Seri Najib. Jho Low tidak ada kuasa untuk membuat keputusan dalam 1MDB sebaliknya Jho Low adalah individu penting membawa mandat PM.

“Datuk Seri Najib mempunyai kuasa muktamad dalam membuat keputusan terutamanya melibatkan pelaburan, keputusan kewangan dan kepentingan negara,” katanya ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Najib sedang dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke akaun banknya antara Februari 2011 hingga Disember 2014.

Dalam pada itu, kata Azmi lagi, Jho Low akan menghantar arahan melalui e-mel dan Blackberry Messenger (BBM) kepadanya.

Antara kandungan itu termasuklah nota percakapan dan pelan tindakan kepada beliau dan orang lain.

Katanya, e-mel itu perlu dipadam selepas dibaca.

“Jho Low tidak mahu ia bocor kerana arahan sulit tersebut melibatkan keputusan dan kehendak Perdana Menteri serta perlu melaksanakannya dengan segera memandangkan Datuk Seri Najib mahu ia dilaksanakan segera,” dakwanya. -MalaysiaGazette