rape jokes sexual assault offences Rina Harun Fizz Fairuz Raja Farah Raja Aziz Fauzi Nawawi Anak Halal
Rina Mohd Harun Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menerima sebanyak 4,932 permohonan baharu sejak MyDaftar Orang Kelainan Upaya (OKU) dilancarkan pada 27 Oktober lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kesemua permohonan baharu itu telah menerima kad OKU digital.

Jelasnya, kementeriannya menyasarkan sekurang-kurangnya 2,000 OKU akan menerima Kad OKU Digital dalam bulan November ini.

“KPI (penunjuk prestasi utama) ini dirangka dengan strategi untuk memastikan kesaksamaan dan peluang kepada OKU bagi penyertaan penuh golongan ini ke dalam masyarakat.

“Kementerian juga optimis pelaksanaan inisiatif MyDaftar OKU ini dapat dilaksanakan sebagai salah satu quick win yang berimpak tinggi dan akan menyumbang kepada peningkatan pendaftaran OKU di Malaysia,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Azizah Mohd Dun (PN) yang meminta kementeriannya menyatakan kelebihan inisiatif baharu MyDaftar OKU yang dilancarkan baru-baru ini dan adakah inisiatif tersebut dapat menyumbang kepada peningkatan pendaftaran OKU.

Mengulas lanjut, Rina berkata, sehingga 31 Oktober, terdapat seramai 583,427 orang OKU telah berdaftar dengan JKM.

Bagaimanapun katanya, jumlah OKU berdaftar masih kecil berbanding anggaran yang dibuat oleh World Health Organisation (WHO) iaitu sekurang-kurangnya sebanyak 15 peratus populasi negara adalah terdiri daripada golongan OKU atau 4.8 juta populasi OKU di negara ini.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran (PH) berkenaan kebanyakan bangunan di negara ini yang dilihat tidak mesra OKU terutamanya bangunan kerajaan, Rina menyedari hakikat tersebut dan kementeriannya tidak pernah berputus asa dalam berusaha menyediakan fasiliti berkaitan.

“Bukan sahaja membangunkan bangunan-bangunan tetapi kita nak ada bandar mesra OKU dan mesra warga emas. Kita juga sentiasa usahakan dengan pihak kementerian dan pihak berkaitan supaya ia nya diambil kira dalam setiap program pembangunan supaya bangunan itu mesra OKU, itu kita faham dan ambil maklum cadangan Yang Berhormat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast