Gelanggang futsal Kampung Ubai,Kuantan.

KUANTAN – Gelanggang futsal yang sering digunakan bagi aktiviti riadah penduduk Kampung Ubai sebelum ini akan dijadikan  Pusat Perpindahan Sementara (PPS) menjelang musim bah nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan dan Kemajuan (JPKK) Kampung Ubai, Alias Ibrahim berkata, cadangan menjadikan gelanggang futsal menjadi PPS itu merupakan tambahan kepada lima PPS yang berada di kawasan tersebut.

­­Persediaan itu bagi persiapan penduduk kampung menjelang musim monsun timur laut yang dijangka tiba bermula November ini.

“Dengan pertambahan ini, ianya dapat menjamin keselesaan mangsa banjir sekali gus dapat memastikan penghuni ditempatkan dengan jarak fizikal yang selamat.

“Setiap tahun bencana banjir berlaku dan lebih 500 mangsa banjir dipindahkan. Maka persiapan ini memastikan kami terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang Covid-19,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Gelanggang futsal berukuran 40 x100 kaki mampu menempatkan 18 buah keluarga mangsa banjir terletak bersebelahan Dewan Utama Kampung Ubai.

Alias Ibrahim.

Saban tahun, apabila Kampung Ubai dinaiki air ia menjejaskan hampir 1,500 penduduk.

Lazimnya dewan, surau, masjid, sekolah dan bangunan Kelas Al-quran dan Fardhu Ain (KAFA) di kampung berkenaan dijadikan sebagai PPS setiap kali berlakunya musibah banjir.

Dalam pada itu, pihaknya telah memohon cadangan untuk membuat bumbung menutup kawasan gelanggang futsal kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

“Cadangan kos pembinaan bumbung kekal menelan belanja RM200,000 sudah dimohon dan menanti kelulusan KPLB.

“Jadi sementara ada atap yang kekal, JPKK mencadangakan menggunakan kanopi biasa semasa musim banjir nanti.

“Kami juga mengharapkan kerja-kerja pembaikan tandas disiapkan secepat mungkin sebelum musim banjir. – MalaysiaGazette