Calon Perikatan Nasional N.21 Dun Duyong, Datuk Kamarudin Sidek pada sidang media Perikatan Nasional Melaka di Pejabat Bersatu Hang Tuah Jaya, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 11 NOVEMBER 2021.

AYER KEROH – Pas meletakkan keyakinan untuk memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pesuruhjayanya, Datuk Kamaruddin Sidek berkata, sasaran itu diyakini boleh dicapai biar pun parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu tidak memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU-14) lalu.

“Kalau dulu PRU-14 boleh sebutlah (Pas masuk olahraga) sebab bertanding 23 kerusi. Kali ini ini Pas masuk lapan kerusi sahaja, kali ini kita akan lawan betul-betul. Kali ini kita masuk untuk menang.

“Paling kurang satu kerusi, harapan kita sebanyak yang boleh untuk bentuk kerajaan yang stabil,” katanya dalam sidang media bersama Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kamaruddin meletakkan keyakinan undi akar umbi untuk kelapan-lapan kerusi yang ditandingi Pas.

Katanya, undi akar umbi menjadi faktor penting untuk PN memberi saingan sengit kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Biar pun Pas tidak pernah menang pada pilihan raya lalu, kali ini dalam saingan tiga penjuru, kita sudah ada undi terasnya termasuk di lapan DUN yang kita letak calon.

“Dulu, saya dapat 3,000 undi dengan gabungan Bersatu dan Gerakan undi saya akan meningkat ditambah lagi dengan isu arus semasa yang berlaku ketika ini.

“Kalau ikutkan, kita mahu menang di semua lapan kerusi, (namun) paling kurang dapat satu pun ok,” katanya lagi.

Pada PRN kali ini, Pas diberikan lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi dalam Perikatan Nasional.

Antara kerusi itu adalah DUN Kuala Linggi, DUN Klebang, DUN Taboh Naning, DUN Durian Tunggal, DUN Bukit Katil Duyong, DUN Merlimau dan DUN Serkam. – MalaysiaGazette