MELAKA – Beberapa kolej kediaman pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Alor Gajah di sini diarah tutup selama 10 hari bermula hari ini selepas seorang pelajarnya disahkan positif COVID-19.
Pengarah Kesihatan negeri Dr Rusdi Abd Rahman berkata, notis penutupan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit berjangkit 1988 itu dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah.
Beliau berkata, pejabat kesihatan itu menerima nortifikasi awal daripada Klinik UiTM pada 2 petang Selasa lepas memaklumkan seorang pelajarnya didapati positif COVID-19 menerusi saringan kit ujian pantas Antigen (RTK-Ag).
Rusdi berkata, siasatan lanjut mendapati pelajar itu telah menghadiri program kepimpinan anjuran sebuah badan bukan kerajaan dari 3 hingga 7 Nov lepas di sebuah resort di Alor Gajah yang turut disertai kira-kira 45 orang lagi membabitkan pelbagai cawangan UiTM.
Beliau berkata pelajar lain yang menjadi kontak rapat sedang dikenal pasti untuk dikuarantin sebagai langkah awal bagi mengekang penularan jangkitan.
“Saya memohon orang ramai agar merujuk kepada kenyataan rasmi Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan negeri untuk maklumat sahih,” katanya.
Rusdi berkata untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Melaka di talian 06-2345 999 atau melalui e-mel [email protected].
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan tujuh pelajar UiTM didapati positif COVID-19 selepas pulang daripada menghadiri program anjuran sebuah parti politik dari 4 hingga 7 Nov lepas. – MalaysiaGazette