Calon BN bagi DUN Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem (tengah) bermesra dengan penduduk di Melaka hari ini.

MELAKA – Syurga kepada penjaja, ekonomi bertaraf bandar raya!

Itu manifesto peribadi calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong sekiranya menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang juga merupakan muka baharu yang dipertaruhkan BN itu berkata, tiada laluan mudah baginya mendepani saingan enam penjuru membuatkan beliau perlu tampil dengan isu rakyat yang sudah lama dirancang sebelum ini.

Menurutnya, menjadi Ahli Majlis Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di kawasan berkenaan sejak lebih setahun lalu menjadi bonus baginya memahami masalah setempat.

“Istimewanya Duyong ini, ia mempunyai ramai penjaja-penjaja kecil yang menjual pelbagai jenis makanan sama ada bertaraf restoran mahu pun gerai-gerai di tepi jalan.

“Restoran asam pedas, gerai menjual sate dan bermacam-macam lagi menu makanan tempatan terdapat di Duyong lebih-lebih lagi sejak dunia dilanda pandemik Covid-19 sejak setahun lalu.

“Usaha kerajaan memperkenalkan Melaka Bebas Niaga memperlihatkan Duyong seperti menjadi pusat ekonomi baharu kepada peniaga-peniaga kecil ini,” katanya ketika ditemui selepas bersarapan di Kampung Duyong Tengah hari ini.

Justeru, beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kota Melaka itu berkata, ekonomi masyarakat Duyong boleh diperkasakan menjadi sumber pendapatan baharu sekaligus meningkatkan ekonomi negeri.

“Sebab itu, menjadi hasrat saya untuk memperkasakan perniagaan penjaja dengan memperkenalkan tagline ‘Syurga Pada Penjaja, Ekonomi Bertaraf Bandar Raya.’

“Saya mahu ekonomi rakyat di Duyong ini berkembang pesat dalam tempoh dua atau tiga tahun sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat baharu pada 20 November ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, masalah banjir kilat saban tahun sehingga menjejaskan hampir 5,000 penduduk kampung dan taman di sekitarnya juga perlu segera diselesaikan.

“Sebab itu, sejak setahun lalu pihak berkuasa telah melakukan pelbagai usaha untuk mengatasinya dengan cara lebih kerap membersih dan mendalamkan sungai serta tali air.

“Kita juga sentiasa memberi perhatian serius terhadap projek-projek perumahan baru supaya ianya tidak menjadi penyumbang kepada masalah banjir kilat,” katanya.

Menurutnya, walaupun permasalahan itu pastinya mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan, ia setidak-tidaknya perlu mempunyai pelan rancangan jangka pendek dan panjang.

“Setakat ini, kita berjaya mengurangkan risiko banjir buruk. Dulu kalau hujan lebat satu dua jam sudah jadi banjir buruk, tapi sekarang mungkin dua atau tiga jam baru air naik.

“Saya yakin, sekiranya BN diberi mandat, situasi banjir kilat seperti yang terburuk pernah melanda sebanyak empat kali setahun pada tahun 2000 dapat dielakkan,” katanya.- MalaysiaGazette