Tentera gabungan Arab Saudi melakukan serangan balas selepas Houthi mengaku melepaskan peluru balistik di Asir. Gambar Reuters

SANAA – Pesawat pejuang gabungan pimpinan Arab Saudi melancarkan beberapa serangan udara ke atas kem tentera yang dikawal oleh Houthi di dalam dan sekitar ibu kota Yaman Sanaa awal pagi Khamis, lapor TV al-Masirah yang dikendalikan Houthi.

Serangan udara itu melanda kem Alsoyanah, Alhafa, dan Raymat Hameed, kata televisyen itu tanpa memberikan butiran lanjut.

Menurut penduduk, beberapa siri letupan kuat kedengaran berikutan serangan udara itu.

Serangan udara itu berlaku beberapa jam selepas Houthi mengaku bertanggungjawab melancarkan tiga peluru berpandu balistik di pangkalan tentera Arab Saudi di wilayah selatan kerajaan Asir.

Riyadh mendakwa semua peluru berpandu telah dipintas dan dimusnahkan.

Houthi yang disokong Iran baru-baru ini memperhebatkan serangan peluru berpandu dan dron rentas sempadan.

Pada bulan Februari, kumpulan pemberontak Yaman memulakan serangan besar terhadap tentera kerajaan yang disokong Arab Saudi untuk menawan wilayah Marib yang kaya dengan minyak di tengah Yaman. – Xinhua