Farid Syed memasang bendera Barisan Nasional (BN) di sekitar perumahannya menjelang penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Melaka esok ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Pangkalan Batu, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Barisan Nasional (BN) berpeluang menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka biarpun peratusan keluar mengundi rendah dengan syarat memastikan seramai mungkin ‘pengundi putih’ keluar memilih wakil rakyat daripada parti itu.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sehubungan itu, jentera wanita BN perlu memainkan peranan sebaik mungkin untuk mengajak pengundinya keluar melaksanakan tanggungjawab pada 20 November ini.

“Kita mempunyai harapan untuk menang di Pengkalan Batu, Bukit Katil dan lain-lain kawasan (Dewan Undangan Negeri) dengan syarat wanita-wanita kita punya jentera Jalinan Rakyat (JR) semua dah siapkan kita punya kajian sikap.

“Pastikan pada 20 haribulan kita keluarkan seramai mungkin pengundi putih (penyokong kuat BN). Tak guna kata pengundi putih ada 80 peratus, 70 peratus tapi tak keluar mengundi.

“(Mungkin) banyak orang tak akan mengundi, lagi banyak orang tak keluar lagi baik untuk kita tapi dengan syarat kita keluarkan seramai mungkin pengundi putih yang telah kita kaji sikapnya, itu penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan jentera kempen BN sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Bukit Piatu di sini lewat malam tadi.

Hadir sama, calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin dan Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Pengarah PRN Melaka berkata, apa sahaja keputusan pada PRN Melaka akan menggambarkan sokongan rakyat terhadap parti Melayu terbesar itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.

“Jadi mahu tidak mahu, kita mesi menang, orang (parti lawan) nak lihat UMNO dan BN terkubur di sini maka elok kita siapkan pula kain kafan untuk kuburkan mereka di sini,” katanya.

Pada PRN Melaka 20 November ini, BN bertanding di kesemua 28 kerusi DUN dengan UMNO di 20 kerusi, MCA (tujuh) dan MIC (satu).

Perikatan Nasional turut meletakkan calon di 28 kerusi dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bertanding di 15 kerusi, Pas (lapan) dan Gerakan (lima). – MalaysiaGazette