Gelagat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) semasa memasuki kolej kediaman ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kolej Mawar UiTM Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 15 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Cadangan pemberian elaun RM900 kepada pelatih industri akan menyebabkan majikan cuak untuk mengambil pelajar dari institusi pengajian tinggi sebagai intern.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Syed Hussain Syed Husman berkata, kebanyakan perusahaan sedang berada dalam fasa pemulihan dan pembayaran elaun yang tinggi akan membebankan majikan.

Beliau berkata, kerajaan boleh memberi subsidi kepada majikan jika mahu meningkatkan bayaran elaun kepada pelajar universiti.

“Jika tidak, maka majikan harus dibenarkan menetapkan elaun berdasarkan kemampuan masing-masing.

“Pada masa ini, majikan sektor swasta mengambil pelatih industri secara sukarela, oleh itu kerajaan tidak perlu menetapkan jumlah elaun yang perlu dibayar,” katanya kepada China Press.

Beliau menjelaskan, pembayaran elaun kepada pelatih industri adalah berdasarkan kemampuan dengan syarikat besar tertentu membayar sehingga RM1,500 sebulan tetapi syarikat kecil hanya membayar kurang daripada RM500 sebulan.

Menurutnya, pihak syarikat menyediakan sumber untuk melatih pelajar universiti termasuk memastikan mereka mendapat bimbingan daripada pekerja yang berpengalaman.

Dalam isu berlainan, Syed Hussain berkata, majikan berdepan kesukaran untuk mengisi jawatan 3D yang melibatkan kerja yang kotor, susah dan bahaya kerana stereotaip yang ada.

Beliau justeru berpendapat pertukaran nama untuk jawatan tertentu mungkin dapat meningkatkan popularitinya.

Katanya, jawatan untuk chef dan polis bantuan akan menjadi rebutan orang muda berbanding tukang masak dan pengawal keselamatan.

“Polis bantuan yang menerima latihan boleh menghadapi insiden kecemasan termasuk memberi bantuan perubatan dan perkhidmatan bomba.

“Jawatan yang ada patut diberi nama baharu untuk menarik minat orang tempatan,” katanya. – MalaysiaGazette