Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases recoveries
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Trend kes harian positif penularan Covid-19  terus menunjukkan kenaikan bagi hari kelima berturut-turut hari ini.

Setakat jam 12 tengahari tadi, sebanyak 6,517 kes positif baharu dilaporkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Dalam ciapan Twitter rasminya, beliau berkata, angka terbaharu itu menjadikan kumulatif kes positif setakat ini sebanyak 2,535,338 kes.

“Maklumat terperinci mengenai kes positif pada hari ini akan dimuatnaik ke laman COVIDNOW: https://covidnow.moh.gov.my

“Data setiap hari bagi laman COVIDNOW dikemaskini selepas tengah malam,” katanya dalam status terkini perkembangan awal penularan Covid-19 hari ini.

Kes harian mula menunjukkan peningkatan sejak 8 November lalu dan semalam bilangan kes positif harian berada pada paras 6,323.

Pada 8 November lalu, kes harian Covid-19 berada pada paras 4,000 kes iaitu lebih tepat 4,543 sebelum mula menunjukkan trend peningkatannya dengan mencecah 5,403 seperti dilaporkan KKM pada 9 November lalu.

Pada 10 November lalu, kes terus naik kepada 6,243 sebelum naik lagi dengan merekodkan sebanyak 6,323 semalam.-MalaysiaGazette