Gambar hiasan

PARA pengundi perlu lebih berhati-hati dengan segala janji manis yang dikeluarkan oleh mana-mana ahli politik atau parti politik melalui manifesto pilihan raya. Ini kerana segala janji-janji yang dikeluarkan khususnya melalui manifesto belum tentu dapat dipenuhi sepenuhnya selepas ahli politik atau parti politik berkenaan memenangi pilihan raya kerana status manifesto itu sendiri yang tidak terikat dengan kuasa undang- undang.

Kedudukan manifesto pilihan raya yang tidak diikat dengan kuasa undang-undang ini telah jelas ditentukan oleh pihak mahkamah tidak beberapa lama dulu dalam negara kita. Jika kita masih ingat pada tahun 2013 yang lalu, Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa sebuah manifesto pilihan raya tidak boleh dikuatkuasakan secara sah.

Berikutan keputusan penting itu, pihak mahkamah membatalkan saman sivil yang difailkan oleh 2,020 ibu tunggal di Selangor berhubung pembayaran elaun RM100 kepada mereka seperti terkandung dalam manifesto pembangkang pada pilihan raya umum 2008. Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof membenarkan rayuan kerajaan Selangor dan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim ketika itu supaya mengetepikan keengganan Mahkamah Tinggi untuk membatalkan saman tersebut.

Di dalam kes terbabit, hakim bersetuju dengan hujahan bahawa manifesto itu bukan sebuah dokumen yang terikat di sisi undang-undang. Seseorang yang tidak berpuas hati dengan kegagalan memenuhi janji pilihan raya tidak boleh menuntut untuk menguatkuasakan janji-janji yang termaktub di dalam manifesto tersebut. Status manifesto pilihan raya yang tidak terikat dengan undang-undang bukan sahaja berlaku dalam negara kita, malah ia juga turut diamalkan di hampir semua negara dalam dunia.

Disebabkan tiada kuasa undang-undang yang diikat ke atas manifesto pilihan raya ini, ahli politik atau parti politik akan mudah melemparkan janji manis ketika menjalankan kempen pilihan raya tanpa perlu ada rasa tanggungjawab untuk memenuhi segala janji kepada pengundi. Maka susahlah pengundi meminta calon yang telah berjaya memenangi proses pilihan raya untuk memenuhi segala janji manis yang telah dibuat  ketika  berkempen.

Oleh yang demikian, para pengundi harus berhati-hati ketika menerima segala janji manis yang dibuat oleh mana-mana ahli politik atau parti politik sewaktu mereka menjalankan proses kempen pilihan raya. Pengundi tidak boleh memberi sepenuh kepercayaan terhadap segala janji- janji manis yang dibuat melalui manifesto pilihan raya. Pada masa yang sama sudah sampai masanya kita mengambil satu langkah baharu bagi memastikan setiap janji manis politik atau janji-janji manifesto dipandang serius oleh mereka yang membuatnya dan dipenuhi tanpa adanya sebarang alasan.

Mana-mana ahli atau parti politik yang membuat janji-janji manis khususnya melalui manifesto pilihan raya perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap semua janji yang telah dibuat oleh mereka. Bak kata pepatah “Kerbau diikat pada tali, manusia diikat dengan janjinya”. Setiap janji yang diberikan perlu dipenuhi dengan segera tanpa sebarang alasan atau dilengah-lengahkan.

Amat menyedihkan sekiranya janji manis dalam manifesto tidak dipenuhi dan ditepati oleh mana-mana ahli atau parti politik setelah mereka memenangi proses pilihan raya dan memegang kuasa untuk memerintah. Tindakan melengah-lengahkan, tidak memenuhi atau menepati janji yang telah dibuat di dalam manifesto pilihan raya menunjukkan sikap tidak hormat pada para pengundi yang telah memberi kepercayaan dan memberi undi kepada ahli dan parti politik yang telah membuat pelbagai jenis janji dalam manifesto.

Dengan mengambil kira keadaan semasa kini, kita perlu melakukan proses penambahbaikkan bagi melindungi rakyat  daripada menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab.Mahkamah diminta melihat semula status undang-undang yang diberikan terhadap manisfesto yang dibuat oleh mana-mana ahli atau parti politik. Setiap manifesto yang dibuat perlu diikat dengan undang-undang supaya tindakkan undang-undang boleh diambil terhadap ahli atau parti politik yang tidak memenuhi atau melangar janji-janji manifesto pilihan raya mereka.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) juga disarankan mengambil langkah yang proaktif dalam mengatasi isu ini. Pihak SPR perlu mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji isu manifesto pilihanraya ini untuk diberikan satu kuasa undang-undang terhadapnya. Pindaan boleh dilakukan melalui sebarang akta sedia ada berkaitan dengan proses pilihanraya dalam negara kita seperti Akta Kesalahan Piliharaya 1954 [Akta 5] bagi menyelesaikan perkara ini demi melindungi hak dan kepentingan pengundi dalam negara kita.

 

Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Profesor Madya, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast