Abdul Ghani Salleh.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan pihaknya akan mengadakan satu Mesyuarat Khas berkaitan urusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Bagi Negeri Sarawak ke-12 pada 24 November ini.

Setiausahanya Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat khas itu bermula pukul 9 pagi bertempat di Kuching, Sarawak.

“Mesyuarat khas tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRU DUN Sarawak seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain persiapan-persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

“Sejurus selepas selesai mesyuarat khas itu, satu sidang media akan diadakan untuk mengumumkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di ibu pejabat SPR dhari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Pada 4 November lalu, SPR menyatakan pihaknya mengambil maklum akan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menamatkan Proklamasi Darurat (Sarawak) P.U.(A) 323, pada 3 November 2021.

Susulan itu SPR akan mengadakan mesyuarat bagi menetapkan tarikh PRN Sarawak tidak lama lagi.

Ketetapan itu dibuat setelah SPR menerima pemakluman rasmi daripada Ketua Menterinya, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.- MalaysiaGazette